Tuesday, December 22, 2009

TAKRIF JENAYAH

ASSALAMUALAIKUM SEMUA.. HARI INI KITA AKAN TERUSKAN PEMBELAJARAN
MENGENAI "JENAYAH DALAM ISLAM" . TAPI SEBELUM TU, MARI KITA MULAKAN DAHULU DENGAN BACAAN DOA, MUDAHAN ILMU INI MUDAH DIPEROLEHI DAN DIBERKATI ALLAH.AMIN..




Tahukah anda semua apakah yang dimaksudkan dengan jenayah?

Apakah takrif atau pengertian jenayah yang diberi oleh para ulama. Kalau anda nak tahu lebih lanjut,
sila baca penjelasannya seperti berikut:


PENDAHULUAN

Islam mengharamkan sebarang perbuatan jenayah di kalangan manusia kerana ianya boleh meragut keamanan daripada kehidupan manusia. Oleh itu Islam, Islam telah mensyariatkan bentuk undang-undang tertentu seperti hukuman hudud, qisas, dan takzir. Hal ini bertujuan untuk mencegah manusia daripada melakukan jenayah di samping mendidik mereka mendekatkan diri kepada Allah



PENGERTIAN JENAYAH


Jenayah pada bahasa ialah dosa atau maksiat.

Pada istilah terbahagi kepada makna khas dan am.
Makna Khas: ialah larangan syarak yang ditetapkan oleh Allah dengan pembalasan had atau ta’zir sama ada melakukan perkara tegahan atau meninggalkan perkara yang disuruh.

Makna Am pula ialah satu pencerobohan yang ditujukan terhadap nyawa, pancaindera atau anggota manusia seperti pembunuhan, kelukaan, pukulan dan lain lain.


Menurut definisi yang biasa diberikan oleh ulama fiqah ”jenayah” ialah perbuatan jahat yang dilakukan untuk mencerobohi kehormatan jiwa dan anggota tubuh badan. Berdasarkan definisi ini kesalahan jenayah hanya terhad pada kesalahan-kesalahan yang berkaitan dengan perlakuan mencerobohi nyawa dan anggota tubuh badan seperti membunuh dan mencederakan anggota tubuh badan yang dikenakan hukuman qisas atau diyat, bagi kesalahan-kesalahan tersebut. Dengan ini bermaksud, segala kesalahan-kesalahan lain yang melibatkan harta benda, akal fikiran dan sebagainya tidak termasuk dalam definisi jenayah yang sempit ini. Namun begitu, definisi jenayah dalam konteks yang lebih luas adalah meliputi semua kesalahan hudud, qisas, dan ta’zir.

Dapatlah disimpulkan di sini bahawa apa juga bentuk dosa atau maksiat daripada sebesar-besarnya kepada sekecil-kecilnya sama ada dikenakan hukuman qisas, hudud atau ta’zir maka adalah dikatakan sebagai kesalahan jenayah.


Firman Allah Taala:




Antara contoh -contoh perbuatan yang dikategori sebagai jenayah seperti berikut:


MINUM ARAK




MENCURI



MERAGUT



2. HUDUD



Takrif


Dari segi bahasa bererti menahan atau mencegah
Menurut istilah syarak adalah hukuman yang ditetapkan kadarnya oleh syarak melalui nas-nas daripada al-Quran dan hadith nabi kerana kesalahan yang melibatkan hak Allah.


Penjelasan Takrif:

Yang dimaksudkan dengan ”ditetapkan kadarnya” ialah syaraklah yang menentukan sesuatu hukuman itu dan tidak ditentukan selain daripada Allah Taala. Maksud ”kesalahan yang melibatkan hak Allah” ialah yang berkaitan kepentingan masyarakat umum yang dapat merosakkan ketenteraman orang ramai dan hukum-hukumnya pula memberi manfaat kepada mereka. Jadi setiap kesalahan jenayah yang menggugat perpaduan manusia amnya dan faedah hukuman yang dikenakan ke atas penjenayah boleh mengembalikan keharmonian kepada mereka , maka hukuman yang ditentukan itu adalah hak Allah.


Dalil al-Quran:


Firman Allah s.w.t:

Maksudnya:Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya.


Pengelasan Jenis Jenayah ataupun Kesalahan Hudud


Terdapat sebanyak enam kesalahan yang umumnya diakui sebagai jenayah atau kesalahan hudud iaitu:


Perhatian buat para pembaca, perbincangan mengenai jenayah hudud ini begitu banyak merangkumi hukuman dang hal yang berkaitan dengannya. Justeru pembaca dapat mengetahui dan memahami dengan lebih jelas berdasarkan huraian yang panjang bagi jenayah jenis ini.


* Sila klik atau tekan pada butang nombor untuk ke pautan lain*




Berzina



Qazaf (menuduh zina)


Meminum arak




Mencuri


Hirabah(Rompak@Samun)




Murtad




INFO TAMBAHAN

Sesungguhnya sebahagian besar fuqaha’ bersetuju tentang pegelasan kesalahan-kesalahan yang dinyatakan tadi iaitu enam kesalahan hudud, namun terdapat sesetengah ulama berpegang pada pendapat lain iaitu sama ada membuat tambahan atau mengurangkan jumlahnya.



3. QISAS



PENDAHULUAN


Adapun jenayah yang melibatkan jiwa seperti membunuh ataupun ke atas anggota tubuh badan seperti mencederakan, melukai atau memotong sesuatu anggota di mana ianya dilakukan dengan niat yang sengaja, maka hukuman yang dikenakan terhadap jenayah jenis ini ialah qisas. Hukuman qisas merupakan hukuman asal bagi jenayah tersebut. Namun begitu, sekiranya hukuman qisas tidak dapat dilaksanakan atas sebab tertentu, maka hukuman ganti akan dijalankan iaitu penjenayah akan dikenakan hukuman diat ataupun ta’zir.


TAKRIF QISAS


Dari sudut bahasa: Peraturan kesan atau bersamaan.

Istilah: Mengenakan hukuman yang sama dengan jenayah yang dilakukan terhadap orang lain yang melibatkan fizikal sama ada perbuatan membunuh atau lain-lain daripada perkara-perkara yang mencederakan jasmani.

DALIL AL-QURAN:

178. Wahai orang-orang Yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman "Qisas" (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh.

(Surah al-Baqarah: 178)


Firman Allah Taala lagi:

Maksudnya: Dan telah kami tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka juga hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya. Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.


JENIS-JENIS JENAYAH/KESALAHAN QISAS

Jenayah boleh yang dikenakan hukuman qisas terbahagi kepada dua jenis iaitu:

1) Membunuh dengan sengaja

2) Memukul dan mencedera dengan sengaja


PERTAMA; MEMBUNUH DENGAN SENGAJA

Pengertian Bunuh:

Membunuh menurut syariat Islam bermaksud perbuatan yang dilakukan oleh seseorang manusia yang dapat menghilangkan nyawa manusia di mana pembunuhan yang dilakukan adalah tanpa hak. Hukum membunuh tanpa hak adalah haram dan berdosa besar. Hal ini berdasarkan dalil al-Quran sebagaimana firman Allah Taala:

Maksudnya: Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya melainkan dengan satu alasan yang benar. Dan siapa dibunuh dengan secara zalim, maka sesungguhnya kami telah memberi kekuasaan kepada ahli warisnya.
( Surah al-Isra’ ayat 33)



Unsur Penting dalam Jenayah Bunuh dengan Sengaja



Terdapat tiga unsur penting bagi jenayah bunuh dengan sengaja iaitu:

i. Orang yang terbunuh sebelumnya seorang manusia yang hidup
ii. Pembunuhan itu hasil perbuatan si pembunuh
iii. Perbuatan berkenaan dilakukan dengan niat hendak membunuh


HUKUMAN BAGI JENAYAH BUNUH DENGAN SENGAJA

a. Hukuman Qisas

Oleh yang demikian, seseorang yang membunuh dengan sengaja tanpa hak maka dikenakan hukuman qisas. Hukuman qisas adalah hukuman yang wajib dilaksanakan ke atas pembunuh kecuali jika wali atau keluarga yang kena bunuh memberi kemaafan. Fuqaha berpendapat dalam hal ini bahawa wali atau keluarga yang kena bunuh berhak menuntut qisas atau memberi kemaafan kepada pembunuh, dan kemaafan itu dengan cara menuntut ganti rugi berbentuk diat atau lainnya.


b. Hukuman Gantian

Sekiranya terdapat halangan atau sebab yang menggugurkan qisas daripada pembunuh, maka sebagai hukuman gantinya adalah pembunuh dikenakan diat dan ta’zir. Yang dikatakan diat kerana membunuh ialah diat yang wajib dibayar dalam bentuk unta adalah sebanyak seratus (100) ekor, dalam bentuk emas adalah seribu (1000) dinar dan dalam bentuk perak adalah dua belas ribu (12000) dirham.


KEDUA; MEMUKUL DAN MENCEDERA DENGAN SENGAJA


Fuqaha Islam mendefinisikan jenayah memukul dan mencedera sebagai perbuatan jahat oleh seseorang ke atas orang lain yang tidak membawa kepada kematian. Termasuk di bawah definisi ini segala bentuk pencerobohan dan kejahatan, seperti melukakan, menarik, menekan, memotong dan mencabut.

Bagi jenayah jenis ini ianya dilakukan dengan sengaja seperti sengaja membaling batu dengan niat hendak mencederakan seseorang dan dikenakan hukuman qisas yang merupakan hukuman asal.


Unsur Penting dalam Jenayah Memukul dan Mencedera dengan Sengaja


Terdapat dua unsur penting dalam kes ini iaitu:

i. Berlakunya perbuatan yang boleh mencedera atau menjejaskan keselamatan tubuh badan termasuklah apa sahaja bentuk perbuatan jahat yang boleh mengakibatkan keadaan seperti itu seperti memukul, mencekik, menarik, menolak, menekan, atau memulas. Ianya boleh berlaku dengan cara menggunakan tangan, kaki, gigi, tongkat, pisau, pedang, senapang, atau dengan menggunakan bahan bisa atau beracun.

ii.Perbuatan itu dilakukan dengan sengaja. Maksudnya ianya dilakukan dengan kemahuan sendiri dan dengan niat jahat.


HUKUMAN BAGI JENAYAH MEMUKUL DAN MENCEDERA DENGAN SENGAJA


Hukuman yang dikenakan bagi jenayah memukul dan mencederakan dengan sengaja menurut pendapat jumhur fuqaha ialah qisas yang merupakan hukuman asal bagi jenayah jenis ini. Namun begitu, jika terdapat apa-apa yang menghalang perlaksanaan hukuman qisas maka ia diganti dengan dua jenis hukuman lain iaitu diat atau ta’zir. Oleh yang demikian, hukuman qisas dan diat tidak boleh dilaksanakan sekaligus kerana ia bertentangan dengan tabiat dan sifat gantian itu sendiri. Begitu juga, tidak harus dikenakan hukuman gantian kecuali apabila terdapat halangan terhadap perlaksanaan hukuman asal.


SYARAT PELAKSANAAN QISAS


Menurut Imam Syafie syarat pelaksanaan qisas bagi jenayah pembunuhan adalah seperti berikut:

1) Orang yang hendak dijatuhkan hukuman qisas adalah mukallaf dan berakal. Kanak kanak dan orang gila tidak dikenakan qisas

2) Pembunuh bukan terdiri daripada bapa, ibu, datuk dan ke atas

3) Mangsa bunuh adalah terpelihara darahnya dengan sebab Islam

4) Persamaan taraf antara pembunuh dan mangsa bunuh dari sudut agama kedua duanya Islam) dan kebebasan diri kedua duanya merdeka)


Syarat Qisas mencederakan ialah:

1) Kesamaan dari sudut anggota yang hendak dikenakan qisas seperti tangan kanan dengan tangan kanan,kiri dengan yang kiri

2) Anggota yang sihat tidak akan dipotong kerana qisas bagi bagi anggota yang lumpuh walaupun dengan kerelaan penjenayah. Tetapi harus memotong anggota yang lumpuh kerana memotong anggota yang sihat.

3) Hendaklah anggota yang hendak diqisas boleh dipotong pada sendi seperti siku,pergelangan tangan atau anggota yang ada sempadan khusus seperti telinga.Qisas hendaklah dilaksanakan pada sendi yang paling hampir dengan anggotayang dilakukan. Mangsa diberi hukuman gantian bayar ganti rugi) bagi bahagian selebihya yang dapat diqisas

4) Jika calar, luka terpotong tetapi tidak terputus, tidak diharuskan qisas kerana tiada persamaan sebagai syarat asas qisas.



4. TA'ZIR





PENDAHULUAN

Hukuman ta’zir dijalankan mengikut budi bicara pemerintah sama ada dalam bentuk sebatan, tahanan (penjara) dan lain-lain yang boleh mencegah dan menakutkan seseorang daripada melakukan kesalahan. Pemerintah tidak dibenarkan memutuskan hukuman ta’zir berdasarkan hawa nafsu,tetapi perlu melihat kepada semua hal dan keadaan yang berkaitan dengan diri pesalah, kadar bahaya terhadap kepentingan awam dan sebagainya.

Tujuan utama perlaksanaan hukuman ta’zir dalam syariat Islam ialah pencegahan dan pengajaran disamping pemulihan dan pendidikan. Namun begitu terdapat juga pelbagai tujuan lain akan tetapi tujuan yang bertentangan dengan tujuan sebenar ta’zir diharamkan oleh syariat Islam.Misalnya Islam melarang ta’zir yang bertujuan menyeksa dan membawa kerosakan kepada jiwa dan tubuh badan penjenayah.


TAKRIF TA'ZIR

Ta’zir pada bahasa: halangan, pencegahan, atau pertolongan.

Istilah: Hukuman terhadap perbuatan maksiat atau jenayah yang tidak ditentukan kadarnya oleh syarak sama ada ia merupakan hak Allah atau hak manusia.

Sebagaimana firman Allah Taala bermaksud: “ Dan menguatkan (agama)-Nya dan membesarkan-Nya.”


JENAYAH TAZIR DAN HUKUMANNYA

Jenayah ta’zir ialah perbuatan maksiat yang selain daripada hudud, qisas dan kifarah seperti riba, berbuka puasa pada siang hari, rasuah, berkhalwat, saksi palsu, berjudi dan sebagainya. Segala perbuatan maksiat yang disebutkan itu akan dikenakan hukuman ta’zir di mana pemerintah atau hakim perlu memilih hukuman yang sesuai bagi setiap kes ta’zir.




Contoh Jenayah Ta'zir iaitu Rasuah


HUKUMAN TA'ZIR


Adapun bagi jenayah yang dikenakan hukuman ta’zir, maka pihak hakim mempunyai pelbagai jenis hukuman yang boleh dipilih sesuai dengan kesalahan tertentu, mengikut keadaan pesalah, rekod kesalahannya serta rekod psikologinya. Antara jenis-jenis hukuman ta’zir termasuklah hukuman mengenai tubuh badan seperti sebatan, hukuman berkaitan sekatan kebebasan seperti penjara, buang daerah dan lain-lain, hukuman berkaitan harta seperti denda serta pelbagai hukuman lain berdasarkan budi bicara pemerintah. Keterangan lanjut mengenai jenis-jenis hukuman ta’zir adalah seperti berikut:


i. SEBAT

Hukuman sebat selain dikenakan terhadap jenayah hudud seperti zina yang dilakukan oleh seseorang yang belum berkahwin dan jenayah qazaf (tuduh zina), ianya juga boleh digunakan terhadap jenayah ta’zir. Terdapat pelbagai pendapat dalam menentukan bilangan sebatan maksimum yang diizinkan dalam kes ta’zir. Sesetengahnya mengatakan 75 sebatan, ada yang berpendapat 99 sebatan, dan yang lainnya menetapkan 39 sebatan dan ada pula yang mengatakan tidak dibenarkan lebih daripada 20 sebatan.




Contoh Sebatan Cara Islam


ii. PENJARA

Terdapat dua jenis hukuman penjara dalam undang-undang Islam, sama ada tempoh yang tetap atau tidak tetap. Adapun hukuman penjara bagi tempoh yang tetap boleh dikenakan bagi kesalahan-kesalahan kecil. Bagi hukuman penjara tidak terhad pula,ianya dikenakan ke atas penjenayah yang sering melakukan kesalahan yang mana mengikut pandangan pihak hakim, tidak boleh dipulihkan akhlak mereka dengan mengenakan hkuman biasa. Semua mazhab undang-undang Islam mengesahkan hukuman ini boleh dilanjutkan sama ada sehingga penjenayah itu bertaubat atau sehingga dia mati bagi penjenayah yang merbahaya.




Contoh Penjara


iii. DENDA DAN MERAMPAS HARTA BENDA

Nabi Muhammad pernah juga mengenakan hukuman dalam bentuk kewangan sebagai hukuman ta’zir. Namun begitu, di kalangan fuqaha’ terbahagi kepada tiga kumpulan berhubung dengan pendapat tentag kesahihan hukuman ini di sisi undang-undang. Kumpulan pertama mengatakan menghukum dengan cara mendenda atau merampas harta benda tidak sah di sisi undang-undang, kumpulan kedua pula menganggapnya sah, manakala kumpulan ketiga menganggapnya sah jika pesalah tidak bertaubat.



Contoh Harta


iv. ANCAMAN


Ancaman merupakan satu bentuk hukuman ta’zir yang dapat mendorong pesalah mengubah tingkah lakunya keraa takut dihukum. Pesalah boleh diancam dengan hukuman sekiranya dia mengulangi kesalahan itu lagi ataupun dia boleh dijatuhkan hukuman tetapi perlaksanaan hukuman itu ditangguhkan sehinggalah dia melakukan satu lagi kesalahan (dalam tempoh tertentu).


SYARAT SYARAT PELAKSANAAN TA’ZIR

1. Hukuman ta’zir hendaklah bertujuan menjaga kemaslahatan yang ditetapkan oleh islam.
2. Hukuman dapat menolak keburukan atau mengurangkannya tanpa mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat dan tidak menghina kemuliaan manusia
3. Hukumannya sesuai dengan jenayah yang dilakukan
4. Persamaan dan adil antara manusia
5. Dijalankan oleh pemerintah



5. KAEDAH PENSABITAN DALAM HUKUMAN JENAYAH ISLAM




Terdapat beberapa kaedah pensabitan menentukan sesuatu hukuman itu boleh dilaksanakan agar tidak timbul ketidak adilan dalam hukuman. Secara umumnya, terdapat beberapa kaedah pensabitan jenayah dalam Islam:


1. Pengakuan (Ikrar)

Pengakuan adalah pemberitahuan tentang hak orang lain ke atas dirinya. Ia merupakan kenyataan atau pengakuan seseorang tentang sesuatu yang berlaku. Telah dipersetujui bahawa pengakuan penjenayah sudah cukup untuk menunjukkan kesalahan, dan berdasarkan pengakuan tersebut dia boleh dijatuhkan hukuman. Satu pengakuan sudah memadai untuk kes jenayah kecuali bagi jenayah zina terdapat perbezaan pendapat dalam menentukan bilangannya. Mazhab Hanafi dan Hanbali berpendapat pengakuan semestinya dibuat sebanyak empat kali dalam empat majlis pengakuan yang berasingan manakala di kalangan fuqaha Syafie dan sebahagian besar fuqaha Maliki berpendapat. Memadai dengan satu pengakuan sahaja, selagi ada tanda yang menunjukkan orang yang mengaku itu tetap dengan pengakuannya.


2. Keterangan Saksi (Syahadah)

Keterangan saksi atau syahadah dalam bahasa Arab pada asalnya membawa maksud hadir. Dari segi bahasa ia bermaksud perkhabaran yang pasti. Manakala dari segi syarak pula ialah memberitahu sesuatu perkara dengan lafaz yang khusus. Keterangan saksi adalah sah menurut syarak berpandukan al-Quran dan sunnah serta ijma’ ulama’.Seseorang saksi yang mahu memberi keterangan mestilah memenuhi syarat-syarat iaitu Islam, baligh, berakal, merdeka, adil, tidak mempunyai asas untuk ditohmah, boleh bercakap (tidak bisu), dan saksi mestilah seorang yang sedar lagi prihatin.

Kesalahan zina disabitkan dengan adanya penyaksian oleh empat orang lelaki yang adil. Bagi kes lain seperti curi, merompak, dan minum arak maka bilangan saksi adalah dua orang lalaki. Dalam murtad fuqaha’ berselisih pendapat dalam menentukan bilangan saksi sama ada dua atau empat orang lelaki. Pada pandangan kebanyakan fuqaha termasuk Imam Malik, Auza’I, Syafie dan ulama mazhab Hanafi, kesalahan murtad boleh disabitkan dengan dua orang saksi yang adil.


3. Sumpah (al-yamin)

Dalam bahasa Arab, sumpah disebut ‘ yamin’ yang bermaksud tangan kanan. Perkataan ‘yamin’ atau tangan kanan ini digunakan bagi merujuk kepada sumpah kerana apabila mereka bersumpah mereka akan berpegangan tangan kanan. Sumpah bermaksud salah satu pihak yang bertikai mengukuhkan pemberitahuan dengan menyebut nama Allah atau sifat sifatNya. Adab-adab yang patut diamalkan ketika bersumpah termasuklah hakim memberi amaran tentang sumpah, bersumpah hanya ketika berada di pihak yang benar, dan tidak bersumpah bohong.


4. Qarinah


Iaitu fakta yang mempunyai kaitan dengan fakta yang lain dalam sesuatu kes. Ia juga sebagai tanda yang menunjukkan wujudnya sesuatu atau sebaliknya.


6. SALAH FAHAM TERHADAP HUKUMAN JENAYAH ISLAM DAN HUJAH MENOLAKNYA

Antara salah faham terhadap hukuman Islam ialah:

1. Zalim

Hukuman jenayah tidak boleh dilihat dari sudut bertanya hukuman, tetapi hendaklah dilihat betapa kejinya kesalahan dan kesan yang akan menimpa masyarakat keseluruhannya.

Betapa kejinya perlakuan zina yang merosakkan keturunan dan mengaibkan keluarga dan masyarakat, merampas harta orang lain dan pembunuhan ke atas manusia tanpa hak menyebabkan kehidupan masyarakat terancam dan huru hara. Di sini kita boleh melihat betapa zalim dan kejinya perlakuan jenayah manusia berbanding dengan hukumannya.

Untuk menyekat kezaliman daripada berleluasa, hukuman berat berbanding pentingnya keamanan dan kesejahteraan semua masyarakat. Setiap hukuman tidak akan menjadi balasan jika mengandungi kelemahan dan kelembutan. Balasan yang berjaya ialah yang memenangi kesalahan, bukan kesalahn memenangi hukuman.



2. Tidak sesuai, lapok atau ketinggalan zaman

Islam adalah agama yang yang sesuai pada setiap keadaan, masa dan tempat. Terdapat hukum yang tetap dan tidak boleh diubahsuai mengikut peredaran masa, tempat dan keadaan, iaitu hukuman hudud. Jika kita perhatikan, hukuman a’zir adalah lebih luas dan banyak berbanding hudud dan qisas.

Semua hukuman yang ditetapkan oleh islam, adalah sesuai pada setiap keadaan, masa dan tempat kerana hukum hukum tersebut datang daripada Allah melalui al quran yang kekal ajarannya hingga hari kiamat. Jika diteliti di negara Barat, pelbagai kesalahan jenayah berlaku pada setiap hari., walaupun pelbagai hukuman dikenakan ke atas mereka. Ini menunjukkan hukuman yang mereka tetapkan tidak sesuai dengan kesalahan jenayah.

Sesungguhnya Allah lebih mengetahui apakah peraturan yang terbak untuk hambaNya kerana semua makhluk adalah ciptaan Allah. Ini terbukti apabila kesalahan yang menimpa dalam mayarakat tidak boleh diselesaikan oleh undang undang ciptaan manusia. Islam adalah agama yang syumul dan sesuai sepanjang zaman .

Firman Allah S.W.T:

Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu.

Pelaksanaan hukuman jenayah menurut islam di dunia dapat membebaskan diri daripada seksaan di akhirat.

Jumhur Ulama berpendapat, hukuman jenayah menurut Islam di dunia akan menghapuskan dosapelakunya dan tidak dikenakan hukuman lagi di akhirat.


Sabda Rasulullah s.a.w maksudnya:

Daripada Ubadah bin Somit berkata: Ketika aku bersama Rasulullah s.a.w dalam satu majlis,baginda bersabda:Seharusnya kamu membuat pengakuan kepadaku bahawa kamu tidak akan menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, kamu tidak akan berzina, mencuri dan tidak akan membunuh orang yang telah diharamkan oleh Allah kecuali dengan hak. Sesiapa di antara kamu yang mematuhinya maka dia akan mendapat hukuman yang merupakan kifarah baginya. Sesiapa yang terlanjur melakukannya tetapi Allah telah menutupinya, maka itu adalah urusan Allah. Jika Allah mahu menyeksanya, maka sudah pasti Allah akan menyeksanya.





7. PERBEZAAN ANTARA UNDANG JENAYAH ISLAM DENGAN UNDANG CIPTAAN

Terdapat jurang perbezaan antara undang-undang jenayah Islam dengan undang-undang ciptaan manusia yang dapat dilihat dari aspek-aspek berikut iaitu:

a. Pencipta Undang-undang

Undang-undang ciptaan adalah dicipta dan dirangka oleh manusia. Undang-undang ciptaan terdedah kepada perubahan dan pertukaran mengikut keperluan dan perkembangan masyarakat. Hal ini disebabkan kelemahan dan kekurangan yang terdapat pada diri manusia itu sendiri.

Jika dibandingkan dengan undang-undang jenayah Islam di mana Allah Taala yang bersifat sempurna, berkuasa, Maha besar dan Maha mengetahuilah yang menciptakan undang-ndang tersebut. Justeru undang-undang jenaah Islam yang merupakan ciptaan Allah adalah cukup sempurna dan tidak perlu kepada perubahan tempat, masa, dan perkembangan serta kemajuan manusia.


b. Sumber Undang-undang

undang-undang ciptaan pula bersumberkan hasil terjemahan akal fikiran manusia yang disebut sebagai statut (undang-undang yang dikanunkan setelah diluluskan oleh badan perundangan pada peringkat Persekutuan dan Dewan Undangan Negeri diperingkat negeri), undang-undang adat, keputusan mahkamah, common low dan kaedah ekuiti (pelenglap kepada Common Law yang peruntukkan budi bicara kepada hakim untuk memberikan remedy yang dirasakan adil).

Manakala sumber undang-undang Islam pula jumhur fuqaha’ bersepakat terdapat dua kategori iaitu yang tergolong dalam kategori pertama ialah sumber utama yang disepakati iaitu al-Quran, sunnah, ijmak dan qiyas. Kategori kedua pula ialah sumber tambahan yang tidak disepakati oleh mereka termasuklah istihsan, istishab, masalih al-mursalah, ‘uruf, syariat yang terdahulu, dan pendapat sahabat.


c. Skop Undang-undang Jenayah

Adapun skop undang-undang ciptaan tidak cukup luas di mana hanya membataskan jenayah kepada perbuatan yang melanggar undang-undang hak awam, menceroboh, dan memudaratkan nyawa dan anggota badan serta harta manusia dan seumpamanya. Bagi perbuatan yang tidak mengganggu keselamatan dan keamanan serta tidak mendatangkan kemudaratan kepada orang lain tidak di anggap jenayah contohnya zina, dan minum arak, kecuali dalam keadaan tertentu.

Berbeza dengan skop undang-undang jenayah Islam yang dapat di bahagikan kepada tiga bahagian iaitu jenayah hudud, qisas dan ta’zir menunjukkan skopnya begitu meluas. Ianya meliputi perbuatan yang diharamkan syarak sama ada pencerobohan terhadap nyawa, anggota manusia atau harta benda dan lain-lain seperti zina, mencuri, minum arak dan sebagainya.


8. HIKMAH HUKUMAN DALAM ISLAM




Islam telah menetapkan hukuman bagi setiap kesalahan jenayah yang dilakukan sama ada tergolong dalam jenayah hudud, qisas mahupun ta’zir.Antara hikmah daripada hukuman tersebut adalah sepert berikut:


1.Pencegahan

Bagi tujuan pencegahan, amaran keras dengan janji-janji azab telah dinyatakan oleh syariat agar manusia takut untuk melakukan jenayah tersebut. Bila melihat hukuman yang dijalankan, bukan sahaja akan mencegah penjenayah tersebut dari mengulangi kesalahan, bahkan mencegah orang ramai daripada melakukan jenayah.

Selain itu, hukuman yang disyariatkan Islam bukanlah berbentuk hukuman dan pembalasan terhadap jenayah yang dilakukan semata-mata, tetapi ia juga berbentuk pencegahan sesebuah masyarakat daripada kerosakan dan kemusnahan akibat daripada jenayah itu. Sebagai contoh hukuman qisas yang dijatuhkan terhadap pesalah bukanlah bermaksud membalas dendam, menuntut bela, atau semata-mata menjatuhkan hukuman bagi kesalahan yang dilakukan. Akan tetapi, ia bagi mencegah perbuatan itu daripada terus berlarutan. Persengketaan atau permusuhan berkemungkinan terus berlaku dan berlarutan antara waris penjenayah dengan waris mangsa sekiranya hukuman qisas tidak dijalankan. Bukti yang dapat kita lihat di sini ialah peperangan al-Basus yang berlaku di kalangan masyarakat jahiliah di mana peperangan ini berlaku antara kabilah Taghlib dengan kabilah Bakar selama 40 tahun. Punca peperangan ini bila mana seorang kabilah Taghlib bernama Kulaib telah membunuh seekor unta milik seorang perempuan daripada kabilah Bakar.

Memang menjadi matlamat asal perundangan Islam ialah mencegah dan menggerunkan manusia daripada melakukan jenayah. Ini adalah untuk menghalang kerosakan dan menolak kemudaratan.



2.Pembalasan

Hikmah daripada hukuman juga adalah sebagai balasan kepada penjenayah tersebut di samping memberi pembelaan dan keadilan terhadap mangsa jenayah. Sebab itu dalam kesalahan hudud dan qisas ditetapkan hukuman tertentu sebagai balasan terhadap kesalahan. Dalam kes mencuri contohnya, dikenakan hukuman potong tangan sebagai balasannya. Islam menyediakan sumber penghukuman daripada al-Quran dan hadith demi memastikan hukuman berjalan dengan baik dan tanpa sebarang penganiayaan.


3.Pemulihan

Seseorang yang dikenakan hukuman atau dimaafkan atas kesalahan akan melahirkan kesedaran dalam dirinya. Hukuman itu sendiri bertujuan untuk mendidik diri di samping kifarah dan seterusnya dia akan bertaubat kepada Allah.


Firman Allah Subhanahu Wataala:

39. Maka sesiapa Yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan (curi) itu dan memperbaiki amal usahanya, Sesungguhnya Allah menerima taubatnya; kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.


Tujuan hukuman adalah untuk memulihkan pesalah. Sebab itu sebahagian daripada kesalahan ada kemaafan seperti qisas dan ta’zir.




4.Pemeliharaan

Pemeliharaan yang dimaksudkan di sini ialah pemeliharaan nilai murni dalam masyarakat oleh setiap individu demi menjamin keharmonian dan kestabilan hidup. Penghukuman dalam undang-undang Islam disyariatkan untuk memelihara nilai-nilai murni seperti berikut:

a.Memelihara Agama
Hukuman berat dikenakan kepada orang murtad bertujuan memelihara kesucian agama.


b.Memelihara jiwa
Hukuman qisas disyariatkan iaitu hukum bunuh terhadap pembunuh yang membunuh dengan sengaja bertujuan memelihara jiwa manusia daripada diceroboh dan diganggu gugat.


c.Memelihara akal
Hukuman dikenakan terhadap peminum arak bertujuan menjaga akal fikiran manusia.


d.Memelihara keturunan
Hukuman sebat atau rejam dikenakan terhadap penzina bertujuan memelihara keturunan manusia.


e.Memelihara harta
Hukuman potong tangan dikenakan terhadap pencuri sekiranya sabit kesalahan demi menjaga harta masyarakat daripada diceroboh dan dirampas.




1. JENAYAH ZINA DAN HUKUMANNYA

Pertama; Jenayah Zina

Pendahuluan

Datangnya Islam juga adalah untuk menjaga keturunan. Oleh yang demikian Islam melarang perbuatan zina yang boleh merosakkan keturunan dan mencemarkan maruah orang yang melakukannya bahkan Islam juga melarang perkara yang mendekati perbuatan zina. Dalam kaedah Usul Fiqh yang di sebut sebagai “Saddu Zaraik” yang bermaksud menyekat segala jalan yang boleh membawa kepada keburukan atau kerosakan. Ini bermakna segala jalan yang membawa kepada perbuatan zina termasuklah pergaulan bebas antara lelaki dan wanita, mendedahkan aurat, dan sebagainya adalah diharamkan. Sememangnya menjadi fitrah manusia saling mencintai antara satu sama lain misalnya percintaan antara lelaki dan wanita. Namun begitu, pengharaman zina bukan bermakna Islam menghapuskan atau menyekat fitrah ini tetapi Islam menyuruh umatnya menggunakan cara yang halal sebagaimana diperintahkan Allah iaitu melalui perkahwinan.






Pengertian Zina

Berzina ialah melakukan persetubuhan haram antara lelaki dan perempuan dengan sengaja tanpa akad perkahwinan yang sah . Perbuatan ini dilakukan oleh seseorang yang mencukupi syarat sebagai mukallaf.

Berdasarkan nas al-Quran dengan jelas mengharamkan zina melalui firman Allah di dalam surah al-Isra’ ayat 32:

Maksudya: ”Dan janganlah kamu mendekati zina , sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk.”

Di dalam jenayah zina terdapat dua unsur penting yang dapat dirumuskan di sini iaitu:

Pertama: Unsur Fizikal iaitu persetubuhan haram

Perbuatan persetubuhan itu sendiri merupakan unsur terpenting dalam jenayah zina yang boleh dikenakan hukuman terhadap pesalah. Menurut fuqaha, persetubuhan yang boleh dkenakan hadd ialah perbuatan memasukkan hasyafah (kepala zakar) lelaki ke dalam faraj perempuan.


Kedua: Unsur Maknawi iaitu niat jahat (sengaja melakukan persetubuhan haram)

Niat jahat yang dimaksudkan di sini ialah melakukan persetubuhan secara sedar bahawa ia adalah perbuatan zina yang diharamkan. Bagi seseorang yang melakukan persetubuhan dengan seseorang yang disangkakan isterinya atau suaminya, maka tidak dikenakan hadd zina.


HUKUMAN BAGI JENAYAH ZINA

Bagi kes kesalahan zina ini hukuman yang dikenakan terhadap pesalah diketegorikan kepada dua iaitu:

Kategori Pertama; Penzina yang Bukan Muhsan ( belum berkahwin)

Hukuman zina bagi pasangan yang belum berkahwin sama ada lelaki atau perempuan akan dihukum dengan dua hukuman:

1. Sebat Seratus (100) Kali.

Hukuman ini berdasarkan dalil al-Quran dan hadith Nabi S.A.W:

Allah S.W.T berfirman:

Maksudnya: Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina maka rotanlah kedua-duanya seratus kali rotan.
(Surah al-Nur, 24:2)

Sabda Nabi Muhammad S.A.W:

Maksudnya: Ambillah daripada aku. Sesungguhnya Allah telah menentukan bagi mereka jalan: Dara dengan teruna rotan seratus kali dan buang daerah selama setahun, dan yang sudah berkahwin seratus rotan dan rejam.

( Hadith diriwayatkan oleh Muslim)


2. Buang daerah selama setahun

Bagi hukuman buang daerah selama setahun ini ianya dilaksanakan di samping hukuman sebat. Namun begitu terdapat pelbagai pendapat di kalangan fuqaha dalam mewajibkan hukuman jenis ini.

Menurut Imam Abu Hanifah bahawa buang daerah tidak wajib dan boleh dilaksanakan jika dirasakan perlu di samping hukuman sebat. Beliau berpendapat buang daerah bukanlah termasuk dalam hukuman hudud tetapi hukuman ta’zir.

Manakala Imam Malik, Syafie dan Ahmad pula berpendapat wajib dihimpunkan hukuman sebat dan hukuman buang daerah sebagai hukuman ke atas penzina yang belum berkahwin. Menurut mereka juga, hukuman buang daerah juga adalah hukuman hudud, sama seperti sebat.


Kategori Kedua; Penzina yang Muhsan ( sudah berkahwin)

Adapun bagi penzina yang muhsan iaitu yang sudah berkahwin, maka hukuman yang dikenakan adalah seperti berikut:

1. Rejam
Sebahagian besar para fuqaha menerima hukuman rejam iaitu dibaling dengan batu sampai mati sebagai hukuman ke atas penzina yang muhsan. Dalil bagi hukuman tersebut ialah berdasarkan sabda Nabi Muhammad s.a.w dan perlaksanaan hukuman rejam yang pernah dilakukan oleh baginda. Antara salah satu contoh kes hudud yang melibatkan penzina muhsan di zaman awal Islam ialah kes ’Asif di mana kes ini merupakan rujukan utama bagi para fuqaha’ dalam menghuraikan hukum rejam ke atas penzina yang muhsan dan bahawa kesalahan zina itu boleh sabit dengan pengakuan. Mengenai kes tersebut, Abu Hurairah dan Zaid Ibn Khalid meriwayatkan katanya:

” Ketika kami berada di sisi Nabi s.a.w, bangun seorang lelaki dan berkata: Dengan nama Allah saya memohon kepada tuan yang Rasulullah s.a.w agar memberi keputusan kepada kami berdasarkan kitab Allah. Selepas iu bangun pula lawannya yang lebih tahu tentang hukum dan berkata: Buatlah keputusan di antara kami berdasarkan kitab Allah dan beritahulah saya mengenainya.” Sabda Rasulullah s.a.w: ”Ceritakanlah.” Kata lelaki berkenaan: ” Sesungguhnya anak lelaki saya bekerja sebagai pengambil upah (Asif) kepada lelaki ini, dan telah berzina dengan isterinya. Maka, saya ingin menebus dosanya dengan memberi seratus ekor kambing dan seorang khadam. Saya telah bertanya ramai dari kalangan ulama tentang hal ini. Mereka telah memberitahu saya bahawa hukuman atas anak saya ialah rotan seratus kali dan buang daerah selama satu tahun. Manakala hukuman ke atas isteri berkenaan pula ialah rejam sampai mati. ” Maka sabda Nabi s.a.w ” Demi Tuhan, aku akan memberi keputusan antara kamu mengikut apa yang ditetapkan oleh kitab Allah. Seratus ekor kambing dan seorang khadam yamg kamu tawarkan itu hendaklah dipulangkan balik. Sesungguhnya atas anak kamu seratus kali sebat dan buang daerah selama setahun.” Sabda Nabi s.a.w lagi: ” Pergilah kamu wahai ’Unais dan tanyalah perempuan berkenaan. Jika dia mengaku maka rejamlah dia.” Selepas ditanya oleh ’Unais perempuan itu mengaku, lalu dia direjam.”


2. Hukuman Sebat

Namun begitu, khawarij berpendapat hukuman bagi penzina sama ada muhsan(sudah berkahwin)atau bukan muhsan (belum berkahwin) adalah 100 kali sebatan bersandarkan firmanAllah:

Maksudnya: Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina maka rotanlah kedua-duanya seratus kali rotan.
(Surah al-Nur, 24:2)


Menurut pendapat ini lagi, hukuman rejam adalah yang paling berat dalam Islam. Oleh itu hendaklah disabitkan dengan dalil yang qatie iaitu dengan al-Quran atau Sunnah yang mutawatir. Dapatlah dirumuskan melalui pendapat ini, di mana bagi penzina yang muhsan iaitu sudah berkahwin tidak di hukum rejam sebaliknya di sebat seratus kali sama seperti hukuman yang dikenakan ke atas penzina yang bukan muhsan iaitu belum berkahwin.


3. Rejam dan Sebat

Hukuman sebat atau rotan yang merupakan hukuman kedua ke atas penzina yang muhsan bersandarkan kepada nas hadith yang berbunyi:

Maksudnya: ” Ambillah daripada aku. Sesungguhnya Allah telah menentukan bagi mereka jalan: Dara dengan teruna rotan seratus kali dan buang daerah selama setahun, dan yang sudah berkahwin dengan yang sudah berkahwin seratus rotan dan rejam.

Para fuqaha berselisih pendapat tentang hukuman rotan atau sebat sebagai hukuman kedua ke atas penzina yang muhsan. Mujtahid seperti Imam Ishak, Ahmad dan Daud berpendapat, hukuman sebat boleh dilaksanakan beserta hukuman rejam. Ini berdasarkan hadith di atas dan sebagaimana hukuman yang pernah dilaksanakan oleh Sayidina Ali (r.a) yang mana belau merotan Syarrahah al-Hamdaniyyah sebelum merejam perempuan itu, dan berkata, ” Aku merotan dia berdasarkan al-Quran, dan aku merejam dia berdasarkan sunah Rasulullah..”

Namun begitu, di kalangan mujtahid lain, seperti Imam Malik , Abu Hanifah dan Syafie, pula berpendapat yang wajib hanyalah hukuman rejam sahaja.



2. JENAYAH QAZAF DAN HUKUMANNYA

Kedua; Jenayah Qazaf (Menuduh Zina)

Pendahuluan

Agama Islam melarang perbuatan bercakap dusta dan putar belit seperti membuat tuduhan palsu, memaki hamun, dan sebagainya akan tetapi islam menggalakkan bercakap benar dan menggunakan lidah sebaik-baiknya ke jalan yang diredhai Allah. Justeru perbincanan kita kali ini adalah berkaitan dengan jenayah qazaf.

Takrif / Pengertian

Qazaf dari segi bahasa melontar sesuatu sama ada dengan batu atau seumpamanya.

Dari segi istilah syarak ialah melemparkan tuduhan zina ke atas seorang yang baik lagi suci atau menafikan nasab keturunannya.


Jenis Qazaf

Dalam syariat Islam, qazaf ada dua jenis iaitu;

1. Qazaf yang dikenakan hukuman hudud

Yang dimaksudkan dengan qazaf jenis ini ialah melemparkan tuduhan zina ke atas seorang yang baik lagi suci atau menafikan nasab keturunannya. Qazaf jenis inilah yang akan menjadi fokus perbincangan dalam penulisan ini.

2. Qazaf yang dikenakan hukuman ta’zir

Qazaf jenis ini pula ialah membuat tuduhan yang selain daripada zina atau penafian nasab. Contohnya menuduh seseorang itu mencuri, minum arak, atau melemparkan tuduhan kufur dan sebagainya.


Dalil Pengharaman Qazaf

Jenayah Qazaf di mana melemparkan tuduhan zina yang tidak berasas diharamkan oleh syarak. Dalil utama pengharamannya berasaskan al-Quran dan Sunnah.

Dalil al-Quran

Allah Taala berfirman di dalam surah al-Nur ayat 4 bermaksud:

Dan mereka yang menuduh wanita yang baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi maa rotanlah mereka (yang menuduh itu) 80 kali rotan dan janganlah kamu terima penyaksian mereka selama-lamanya, dan mereka itulah orang yang fasiq.
(Surah al-Nur:4)

Dalil al-Sunnah

Daripada Abu Hurairah r.a, beliau menceritakan Nabiuhammad s.a.w bersabda:

Maksudnya: Jauhilah kamu tujuh perkara yang membinasakan. Para sahabat bertanya, ” Apa dia tujuh perkara itu wahai Rasulullah?” Jawab Rasulullah s.a.w:” 1. syirik, 2. sihir, 3. membunuh jiwa yang diharamkan Allah melainkan secara hak, 4. makan harta anak yatim, 5. makan riba, 6. lari dari medan perang, 7. tuduhan zina ke atas perempuan yang baik-baik.
( Hadith Riwayat Bukhari)


HUKUMAN BAGI JENAYAH QAZAF

Terdapat dua hukuman yang dikenakan kepada pesalah-pesalah qazaf iaitu:

1. Hukuman sebat
Sebatan sebanyak 80 kali dikenakan bagi kesalahan qazaf, tidak boleh lebih dan tidak boleh kurang daripada jumlah yang ditetapkan. Adapun juga mengikut pendapat kebanyakan ulama, jika pesalah qazaf seorang hamba, maka hukuman dikenakan 40 kali sebatan.

2. Tidak diterima kesaksiannya
Para Fuqaha sependapat mengatakan orang yang membuat tuduhan zina tidak diterima kesaksian mereka selagi mana mereka belum bertaubat. Hal ini kerana mereka dianggap orang fasiq dan tidak diterima sebagai saksi.

3. JENAYAH MINUM ARAK DAN HUKUMANNYA

Ketiga; Minum Arak

Pendahuluan

Islam menitikberatkan kepentingan menjaga akal fikiran. Antara punca utama yang boleh merosakkan kewarasan akal manusia adalah dengan minum arak. Arak merupakan sejenis minuman yang memabukkan di mana bukan sahaja dapat merosakkan akal fikiran malah merosakkan kesihatan, pembaziran wang dan boleh menjadi punca berlakunya pertumpahan darah. Akal merupakan anugerah Allah yang cukup bernilai, dan dengannya jualah manusia dapat membezakan antara hak dan batil. Oleh yang demikian, arak adalah haram sama sekali di dalam Islam. Namun begitu, pengharamannya tidak dengan sekaligus bahkan secara beransur-ansur.



Pengertian Arak

Menurut pendapat jumhur, arak di sini bermaksud segala bahan yang memabukkan, sama ada diberi nama khamr atau nama apa pun juga di mana ianya diproses daripada bahan tertentu seperti buah anggur, tamar, gandum, sya’ir, dan beras, ia memabukkan sama ada di ambil sedikit atau banyak.



Unsur penting dalam kesalahan minum arak:

Ada dua unsur penting iaitu :

1. Perbuatan meminum

Menurut jumhur fuqaha, unsur itu wujud apabila individu tertentu meminum bahan yang memabukkan, tidak kira apa jenis sekalipun bahan itu, dan sama ada banyak atau sedikit kandungan alkohol dalamnya. Apa yang penting ialah sifat minuman itu yang memabukkan.

2. Niat jahat

Kewujudan unsur niat jahat ini bila mana peminum mengetahui yang diminum itu adalah arak atau cecair yang memabukkan.

Dalil Pengharaman Minum Arak.

Pada zaman permulaan Islam, arak telah menjadi kegemaran kebanyakan orang Arab. Dalil pertama Allah telah menurunkan ayat yang menerangkan bahaya yang terdapat pada arak lebih banyak daripada kebaikannya. Dalilnya seperti berikut:

Firman Allah:

Maksudnya: Mereka itu bertanya pada engkau (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah (wahai Muhammad), pada keduanya ada dosa dan manfaat bagi manusia, dan dosanya ebih besar daripada manfaatnya.


Berdasarkan ayat al-Quran di atas adalah sebagai permulaan bagi pengharaman arak. Mengikut hukum syarak dan hukum akal, sesuatu yang kemudaratannya lebih banyak daripada kebaikan adalah haram diambil dan dilakukan.


Kemudiannya turun pula ayat lain yang melarang orang mukmin meminum arak ketika hampir dengan waktu solat dan tidak menunaikan solat dalam keadaan mabuk sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Nisa ayat 43:




Akhir sekali turunlah ayat yang mengharamkan arak sama sekali. Dalil pengharamannya adalah seperti berikut:

(surah al-Maidah: 90)



HUKUMAN BAGI PEMINUM ARAK

Hukuman yang di kenakan bagi kesalahan minum arak menurut pendapat fuqaha adalah disebat. Ini adalah berdasarkan dalil berikut:

Sebagaimana Nabi Muhammad s.a.w bersabda:

من شرب الخمر فاجلدوه
Maksudnya: Siapa minum arak maka sebatlah ia.

(Hadith Riwayat Abu Daud)


Cumanya yang menjadi perselisihan pendapat di kalangan ulama’ fiqah ialah bilangan sebatan yang dikenakan disebabkan hukuman bagi kesalahan minum arak tidak disebutkan dalam al-Quran dan perbezaan pandangan yang dikatakan berpunca daripada sahabat-sahabat Nabi.

Padangan Mazhab Mengenai Bilangan Sebatan

Menurut pendapat mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali, hukuman bagi kesalahan meminum arak adalah 80 kali sebatan

Mazhab Syafie , Zahiri dan Zaidi serta satu lagi pendapat Hanbali mengatakan hukuman terhadap peminum arak adalah 40 kali sebatan. Sebagaimana yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik (r.a) yang bermaksud: ”Telah dibawa kepada Rasulullah s.a.w seorang yang meminum arak. Lalu baginda memukulnya dengan kasut sebanyak empat puluh kali. Begitu juga Abu Bakar r.a pernah memukul peminum arak sebanyak bilangan tersebut.

Adakah Kesalahan Meminum Arak Merupakan Hukuman Ta’zir?

Ada juga pandangan yang mengatakan bahawa meminum arak itu merupakan suatu kesalahan seperti juga kesalahan-kesalahan lain. Oleh yang demikian, orang yang melakukannya boleh dikenakan hukuman ta’zir, yang boleh ditakrifkan secara ringkas sebagai sesuatu hukuman yang belum ditetapkan atau hukuman mengikut budi bicara yang dikenakan bagi kesalahan-kesalahan yang tidak ditetapkan hukuman hadd atau tidak boleh ditebus dosa.. Sebagaimana yang ditulis oleh Mohamed Salim El-Awa dalam karya bukunya bertajuk ”Hukuman Dalam Undang-Undang Islam”mengatakan takrifan ta’zir ini dipersetujui oleh hampir semua pihak, dan walaupun para fuqaha’ dari semua mazhab undang-undang Islam ada menulis tentangnya, namun tiada seorangpun antara mereka pernah mengelaskan hukuman bagi meminum arak dalam kumpulan ta’zir. Menurut beliau lagi, dilihat dari satu segi, perkara ini berlaku kerana terlalu cenderung menerima pandangan “sarjana yang diteladani” (taqlid imam) tanpa soal,manakala dari segi lain pula disebabkan takut mengingkari pandangan umum di kalangan fuqaha’. Justeru, bagi mereka yang tidak terpengaruh dengan kedua-dua jenis pertimbangan ini sebagaimana disebut sebelum ini, maka dapat menyatakan secara jelas bahawa hukuman yang dikenakan bagi meminum arak sebenarnya dalam kategori ta’zir.

Dalam mengulas hal ini lagi mengenai pandangan yang mengatakan kesalahan minum arak di bawah kumpulan ta’zir, pembaca boleh mendapatkan penjelasan lanjut dari laman web ini “ http://benmokhtar.blogspot.com”. Penulis blog ini merupakan seseorang yang berautoriti dan pakar dalam bidang jenayah Islam.






Sunday, December 6, 2009

6. JENAYAH MURTAD DAN HUKUMANNYA

Pendahuluan

Isu murtad merupakan isu penting agama Islam yang mana tidak boleh dibiarkan berterusan begitu sahaja. Kes-kes murtad yang berlaku segelintir di kalangan umat Islam khususnya orang Melayu dan saudara baru semakin menjadi-jadi. Buktinya apa yang kita lihat fenomena ini berlaku di Malaysia yang melibatkan kes-kes murtad yang diketahui umum seperti kes Lina Joy atau Azlina Jailani, kes ayah Pin, kes Natrah dan sebagainya. Perbincangan mengenai murtad akan dibahaskan lebih lanjut dalam penulisan ini.

Takrif atau Pengertian Murtad

Perkataan murtad berasal daripada bahasa Arab iaitu riddah atau irtidad. Dari segi bahasa riddah bermaksud kembali daripada sesuatu kepada sesuatu yang lain. Manakala bagi perkataan irtidad pula membawa pengertian lebih luas,iaitu mereka yang meninggalkan agama Islam untuk tidak mempercayai Islam atau meninggalkan Islam untuk mempercayai agama lain.

Terdapat pelbagai takrifan yang dikemukakan ulama mengenai murtad dari segi istilah syarak seperti di bawah antaranya:

i. Menurut Dr. Wahbah al-Zuhayli: “ Berpaling daripada Islam dan kembali kepada kufur, sama ada dengan niat atau perbuatan yang mengkafirkan atau perkataan, dan sama ada diucapkan dengan gurauan atau penentangan atau iktikad.

ii. Menurut Syeikh ‘ Abd al-Qadir Awdah: “ Meninggalkan agama Islam dan keluar daripadanya setelah menganutnya.”

iii. Menurut Sayyid Sabiq: “ Kembalinya orang Islam yang berakal dan dewasa kepada kekafiran dengan kehendaknya sendiri tanpa paksaan dari orang lain. Baik yang kembali itu orang lelaki mahupun orang perempuan.


Jadi dapatlah disimpulkan takrifan murtad di sini iaitu orang Muslim mukallaf yang keluar daripada agama Islam sama ada dengan kepercayaan, perkataan atau perbuatan, dengan kehendak sendiri.


SEBAB MURTAD

Murtad boleh berlaku dengan pelbagai cara sehinggakan kadang kala berlaku tanpa disedari oleh pelakunya. Perkara-perkara yang boleh menyebabkan murtad adalah disebabkan kepercayaan (murtad i'tiqadi), dengan perkataan (murtad qawli) dan perbuatan (murtad fi’li). Penjelasan lanjut mengenai perkara-perkara yang boleh menyebabkan murtad ini adalah seperti berikut:

1. Murtad Melalui I’tiqad

Murtad jenis ini berlaku apabila seseorang itu beriman atau berpegang dengan suatu pegangan yang salah dari sudut akidah Islam dan juga dasar-dasar kepercayaan seorang mukmin kepada Islam.

Contoh-contoh i’tiqad yang membawa kepada murtad:

i. Menafikan kewujudan Allah atau mempercayai alam ini bersifat azali dan wujud tanpa pencipta.

ii. Mempercayai kepada orang yang mendakwa dirinya nabi selepas nabi Muhammad s.a.w, kerana apabila Musailamah al-Kazzab mendakwa dirinya sebagai nabi dan kaumnya mempercayainya maka kaumnya dijatuhkan hukuman murtad.

iii. Sesiapa yang beri’tiqad ada tuhan selain Allah, ataupun Allah mempunyai pembantu di dalam kekuasaanNya, atau Dia yakni Allah Taala mempunyai sahabat atau anak (iaitu mensyirikkan Allah dengan sesuatu).


2. Murtad Melalui Perkataan

Apa yang dimaksudkan dengan murtad melalui perkataan ialah apabila seseorang melafazkan kalimah atau perkataan dan ucapan serta tulisan yang dianggap memperlekeh, menghina, memerli dan membenci ajaran Islam.

Contoh-contoh ucapan yang membawa kepada murtad mengikut pendapat ulama seperti berikut:

i. Menghina Allah atau menghina nabi-nabiNya atau menghina Nabi Muhammad s.a.w.

ii. Berkata seseorang: “ Allah sudah tidak ada kerja lainkah, sehingga mencipta perkara ini?.”

iii. Sesiapa yang berkata: “ Saya tidak berminat dengan hukum Allah atau dengan syariat nabi Muhammad s.a.w.”


3. Murtad Melalui Perbuatan

Murtad boleh juga berlaku melalui perbuatan apabila perbuatan-perbuatan itu bertentangan dengan dasar-dasar Islam yang telah ditentukan Allah.

Contoh-contoh perbuatan yang membawa kepada murtad antaranya:

i. Perbuatan sengaja yang menunjukkan kepada kekufuran seperti sujud kepada berhala, matahari, bulan ataupun kepada makhluk sama ada binatang atau lain seperti sujud kepada salib atau api.

ii. Perbuatan sengaja yang menunjukkan kepada penghinaan, memperolok, mengejek atau mempersendakan kitab al-Quran atau kitab-kitab hadith seperti memijak atau melemparkannya ke tempat kotor.


Faktor yang Menyumbang Kepada Gejala Murtad:


Beberapa faktor penyebab (menurut pihak-pihak yang terlibat mengendalikan masalah ini) ialah:

1. Kurang didikan agama daripada ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Mereka tidak mampu menjadi role model untuk anak-anak. Sebagai contoh mereka sendiri tidak solat, tidak berpuasa dan tidak mengamalkan kewajipan Islam yang lain.

2. Tiada undang-undang yang berkesan untuk mencegah jenayah ini daripada terus berlaku. Enamen Pentadbiran undang-undang Islam Negeri-negeri juga tidak memberi bidang kuasa kepada mahkamah untuk menghukum orang yang murtad secara bermaruah dan berwibawa kerana tiada peruntukan.

3. Murtad untuk berkahwin dengan pemuda atau gadis yang dicintai menyebabkan mereka hilang pedoman dan pegangan hidup.

4. Dalam kalangan saudara baru yang menganut Islam kurang bimbingan setelah memeluk Islam. Akhirnya apa yang berlaku mereka murtad kerana tidak memahami Islam secara menyeluruh dan tidak puas hati dengan ajaran Islam. Tambahan pula banyak perkara-perkara yang berupa kewajipan dalam Islam agak susah untuk dilakukan.

5. Gerakan agama yang dijalankan oleh agama Kristian, Hindu, Buddha dan sebagainya. Pergerakan mereka boleh dikesan melalui aktiviti kebajikan, kesihatan, kidmat social dan sebagainya.


Saranan mereka dalam mengatasi masalah ini:


1. Cara yang mutlak dan terbaik ialah mengambil semula undang-undang Islam sebagaimana yang dijalankan pada zaman Rasulullah iaitu undang-undang hudud. Sekiranya hukuman hudud dijalanan segala masalah akan selesai kerana undang-undang Allah itu terbaik untuk kemaslahatan umat manusia walaupun ada pihak-pihak yang tidak memahami hukum-hukum Islam mengatakanya kejam.

2. Menubuhkan pusat pemulihan aqidah dan pusat tahanan terhadap mereka yang mahu murtad. Pusat tahanan dan pemulihan ini akan membimbing dan mendidik mereka sehingga mereka benar-benar insaf dan kembali bertaubat. Sekiranya mereka masih berdegil , maka mereka hendaklah ditahan semula.

3. Ibu bapa perlulah mendalami ilmu agama dan ilmu keibubapaan sebagai bakalan untuk mendidik anak-anak mereka.

4. Mengahwinkan segera anak-anak yang sudah mempunyai keinginan untuk berkahwin. Dengan cara ini boleh menghindarkan mereka daripada melakukan perkara-perkara maksiat.

5. Pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam perlu menggunakan seluruh peluang yang ada untuk menginsafkan dan membimbing orang yang mahu murtad supaya kembali bertaubat serta membatalkan hasratnya untuk keluar Islam.



Hukuman Terhadap Jenayah Murtad

Adapun hukuman dalam Islam yang dikenakan bagi jenayah murtad dapat dilihat dari segi hukuman di akhirat dan hukuman di dunia:

1. Hukuman di Akhirat

Adapun bagi hukuman murtad di hari akhirat ialah balasan azab bahkan mereka kekal di dalam neraka. Hal ini berdasarkan firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 217 yang mana terjemahannya berbunyi:

Maksudnya:
Barang siapa yang murtad di antara kamu daripada agamanya (agama Islam), lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.
( Surah al-Baqarah:217)


2. Hukuman di Dunia

Mengikut jumhur ulama’, jenayah murtad boleh dikategorikan dalam kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman hudud. Bagaimanapun hukuman itu masih tertakhluk kepada tiga hukuman utama iaitu hukuman asal, hukuman alternatif dan hukuman sampingan. Kepelbagaian hukuman-hukuman itu wujud adalah tertakhluk kepada keputusan hakim dengan melihat sebab-sebab dan latar belakang kes murtad itu.

i. Hukuman Asal

Hukuman asal bagi orang murtad ialah di bunuh. Hal ini bersandarkan kepada dalil hadith nabi yang bermaksud, “ Sesiapa yang menukar agamanya (murtad) maka bunuhlah dia.” Jumhur ulama’ berpendapat hukuman bunuh ini berjalan kepada semua penjenayah murtad tidak kira sama ada lelaki, perempuan, tua ataupun muda. Namun begitu Imam Abu Hanifah mengecualikan hukuman bunuh terhadap wanita sebaliknya pesalah wanita itu harus di gesa supaya bertaubat dan kembali semula kepada Islam. Jika enggan maka dia ditahan sehingga dia kembali kepada Islam atau sehingga dia mati dalam tahanan.

Mengikut kaedah utama di dalam jenayah murtad ini ialah orang yang murtad itu disuruh bertaubat. Menurut Imam Syafie seseorang yang murtad diminta bertaubat terlebih dahulu dan kembali semula kepada Islam dalam tempoh tiga hari. Jika tetap enggan barulah dijatuhkan hukuman bunuh. Ada juga yang mengatakan bahawa menuyuruh bertaubat ini tidak wajib, sebaliknya penyuruhan ini baik dilakukan.



ii. Hukuman Alternatif

Apabila sesorang yang murtad telah bertaubat dan kembali kepada Islam, maka hukuman asal (bunuh) digugurkan sebaliknya dikenakan pula hukuman alternatif. Hakim boleh mengenakan hukuman ta’zir yang sesuai sebagai pengajaran kepadanya agar tidak mengulangi kesalahan murtad itu lagi. Contohnya dikenakan hukuman sebat, penjara, membayar denda dan sebagainya.

Selain itu, jika terdapat kesamaran maka hukuman asal digugurkan sebagaimana Imam Hanifah pernah menjalankan hukuman penjara terhadap perempuan dan kanak-kanak yang telah murtad dalam tempoh tidak terbatas sehinggalah mereka bertaubat dan kembali semula kepada Islam. Beliau telah menggugurkan hukuman asal iaitu bunuh dan menggunakan hukuman alternatif.


iii. Hukuman Sampingan

Apa yang dimaksudkan dengan hukuman sampingan ialah selain daripada hukuman bunuh terdapat beberapa hukuman lain yang berkaitan dengan pemilikan harta benda, pengurusan, perwarisan, dan perkahwinan akan dikenakan ke atas penjenayah murtad. Contohnya harta-harta yang dimiliki oleh orang yang murtad tidak boleh diwarisi oleh keluarga yang beragama Islam. Begitu juga seseorang yang murtad tidak boleh mengahwini orang lain yang beragama Islam.

5. JENAYAH HIRABAH (ROMPAK DAN SAMUN) DAN HUKUMANNYA

PENDAHULUAN

Istilah hirabah (rompakan) atau disebut juga oleh fuqaha dengan istilah menganggu laluan awam digunakan khusus bagi tindakan yang dilakukan oleh orang Islam di negara sendiri.

Terdapat pelbagai pendapat yang diberikan ulama mengenai takrif atau pengertian bagi jenayah hirabah ini dalam kitab-kitab fiqh. Namun begitu ulama bersepakat mengatakan jenayah hirabah itu dilakukan dalam negara Islam oleh rakyatnya sendiri dan bukan musuh Islam kerana sekiranya jenayah itu dilakukan oleh orang bukan Islam ke atas orang Islam, maka perkara itu boleh dikira sebagai peperangan yang sebenar.

TAKRIF HIRABAH

Pendapat yang diberikan oleh ulama mengenai takrif atau pengertian hirabah adalah seperti berikut:

1. Mazhab Maliki

Menurut Mazhab Maliki, hirabah adalah perbuatan yang menakutkan perjalanan orang sama ada bertujuan untuk mengambil harta benda atau tidak, asalkan kejadian itu sukar untuk mendapatkan pertolongan.

2. Mazhab Syafie

Serangan bertujuan merampas harta, membunuh atau menakutkan dengan cara terang-terangan, angkuh dan menggunakan kekuatan di kawasan terpencil atau jauh daripada bantuan. Ia dilakukan oleh mukallaf yang tertakhluk kepada undang-undang termasuk ahli zimmi dan orang yang murtad.

3. Mazhab Hanafi

Keluarnya sekumpulan manusia atau individu yang Islam dan zimmi untuk menganggu keamanan dan perjalanan orang ramai bertujuan untuk mengambil harta benda secara kekerasan atau kekuatan.



DALIL BAGI JENAYAH HIRABAH

(Surah Maidah:33)


HUKUMAN BAGI JENAYAH HIRABAH

Terdapat empat kategori bagi tindakan hirabah atau merompak yang boleh dikenakan hukuman yang berbeza iaitu:


1. Menakut-nakutkan atau menganggu laluan orang ramai tanpa merampas dan membunuh.

Hukuman yang dikenakan bagi kesalahan jenis ini ialah dibuang negeri. Terdapat tiga pendapat di kalangan mazhab-mazhab ahli sunnah tentang hukuman ini. Menurut mazhab Hanafi, pembuangan negeri bermaksud dipenjarakan, sementara mazhab Maliki berpendapat dipenjarakan di negara lain, bukan dalam negara penjenayah itu. Manakala bagi mazhab Syafie dan Hanbali berpendapat memburu penjenayah dari negeri ke negeri lain jika dia terlepas lari.

2. Merampas harta benda sahaja.
Hukuman yang dikenakan dipotong tangan kanan dan kaki kiri serentak.

3. Membunuh sahaja.
Hukumannya ialah dibunuh tanpa salib

4. Merampas harta benda dan membunuh
Hukuman terhadap pesalah hirabah yang dikenakan ialah dibunuh dengan disalib.

Bagi penyaliban terdapat dua pendapat di kalangan mazhab Ahli Sunnah iaitu:

1. Mazhab Syafie, Hanbali dan beberapa orang ahli hukum Maliki
Penjenayah itu harus dibunuh dahulu dengan cara biasa dan kemudian jasadnya disalib selama tiga hari sebagai amaran dan pencegahan kepada orang lain.

2. Mazhab Hanafi dan Ibn al-Qasim
Penjenayah itu harus disalib hidup-hidup dan disula dengan tombak

4. JENAYAH CURI DAN HUKUMANNYA

Pendahuluan
Kedatangan Islam juga adalah untuk memelihara harta di samping memelihara nyawa dan maruah. Oleh yang demikian, Islam telah mensyariatkan hukuman terhadap mana-mana individu yang bertindak menceroboh harta orang lain. Perbuatan mencuri merupakan jenayah di dalam Islam dan di kenakan hukuman mengikut perundangan Islam bagi pencuri. Apakah yang di katakan dengan kesalahan mencuri dan bentuk hukuman yang dikenakan? Keterangan lanjut adalah seperti berikut:


Apakah itu Mencuri?

Curi atau sariqah dalam bahasa Arab bermaksud mengambil sesuatu secara sulit.
Menurut syarak pula curi ialah mengambil harta orang lain secara senyap dan sembunyi tanpa sebarang hak dari tempat simpanan dengan syarat-syarat tertentu..Ianya dilakukan dengan niat yang sengaja.

Penjelasan Takrif

“ Harta orang lain” adalah bermaksud barang yang dicuri mestilah hak milik orang dan bukannya hak miliknya.

“ Mengambil secara senyap dan sembunyi ” adalah bermaksud pecuri mestilah mengambil barang itu secara senyap atau sembunyi bukan dengan cara terang-terangan seperti merampas, menipu, memaksa, dan sebagainya.

“ Niat sengaja” pula ialah apabila seseorang yang mencuri barang itu mengetahui barang yang diambil itu adalah diharamkan dan barang yang diambil itu bertujuan untuk memilikinya tanpa pengetahuan dan keizinan pemilik barang. Jika seseorang itu mengambil barang yang disangka sudah dibuang oleh pemiliknya maka tidak dikenakan hukuman hudud.

HUKUMAN BAGI JENAYAH CURI

Bagi kesalahan mencuri, maka hukuman yang dikenakan ada dua jenis:

Pertama; Hukuman potong tangan.

Ini berdasarkan dalil al-Quran sebagaimana firman Allah Taala dalam surah al-Maidah ayat 48 adalah seperti berikut:

Di kalangan fuqaha berlaku perselisihan pendapat dalam menentukan anggota yang perlu dipotong. Punca perselisihan wujud disebabkan percangggahn antara mereka dalam mentafsirkan firman Allah “ فاقطعوا أيديهما “ yang terjemahannya berbunyi,” maka potonglah tangan mereka,” dan dalam menilai hadith yang sahih daripada Rasulullah s.a.w dalam masalah ini.



Bahagian Anggota yang wajib dipotong adalah seperti berikut:

1. Potong satu tangan sahaja.

Menurut Imam Ata’ tangan pencuri hanya dipotong untuk kesalahan kali pertama sahaja tetapi jika dia mengulangi kesalahan mencuri kali lain pula maka tangannya tidak dipotong. Ini bermaksud tangan hanya dipotong sekali sahaja iaitu tangan kanan, bagi kesalahan mencuri kali pertama manakala bagi kesalahan mencuri yang dilakukan seterusnya atau kali lain hanya dikenakan hukuman ta’zir.

Kesalahan Curi Pertama: Tangan kanan dipotong
Kesalahan Curi Kedua dan seterusnya: Dikenakan hukuman ta’zir

Alasan atau hujah beliau berdasarkan firman Allah bagi ayat yang terjemahannya berbunyi “ maka potonglah tangan mereka.” Berdasarkan ayat tersebut menurut beliau yang perlu dipotong itu adalah tangan sahaja bukan anggota lain.

2. Potong tangan kanan dan kaki kiri

Menurut Imam Hanifah, Syiah Zaidiah dan pendapat pertama dalam mazhab Ahmad pula berpendapat anggota yang wajib dipotong adalah tangan kanan dan kaki kiri. Bagi kesalahan mencuri kali pertama , maka wajib dipotong tangan kanan, sementara kesalahan mencuri kali kedua, yang wajib dipotong ialah kaki kiri. Jika pencuri mengulangi perbuatannya untuk kali ketiga dan berikutnya, maka hukumannya ialah dia akan ditahan untuk tempoh yang tidak terbatas sehingga dia mati dan bertaubat.



3. Potong kedua-dua belah tangan kanan dan kiri.

Mengikut pandangan dari mazhab Zahiri pula anggota yang wajib dipotong bagi kesalahan mencuri ialah kedua-dua belah tangan iaitu tangan kanan dan kiri. Ini bermakna bagi kesalahan mencuri pertama, maka tangan kanan akan dipotong, sementara kesalahan mencuri kali kedua hukumannya dipotong tangan kiri pula. Adapun bagi kesalahan mencuri berikutnya iaitu setelah dua kali mencuri maka hukuman ta’zir dikenakan.


Mencuri Kali Pertama: Potong tangan kanan
Mencuri Kali Kedua: Potong tanan kiri
Mencuri Kali Ketiga dan seterusnya: Hukuman ta’zir


4. Potong kedua-dua belah tangan dan kaki

Adapun menurut mazhab Maliki, Syafie berpendapat anggota yang perlu dipotong adalah kedua-dua belah tangan dan kaki di mana mencuri kali pertama, hukumannya dipotong tangan kanan, kesalahan mencuri kali kedua dipotong kaki kiri. Jika mencuri kali ketiga maka tangan kiri akan dipotong dan bagi kesalahan mencuri kali keempat hukumannya dipotong kaki kanan. Adapun jika dia mengulangi lagi kesalahan mencuri untuk kali berikutnya, maka dikenakan hukuman penjara sehingga mati ataupun sehingga bertaubat.





Kedua; Memulangkan barang yang dicuri setelah pencurinya dipotong tangan.

Bagi masalah ini terdapat tiga pendapat iaitu:

i. Bagi pendapat Imam Syafie, bayaran gantirugi dikenakan terhadap pencuri walaupun barang tersebut telah rosak.

ii. Imam Abu Hanifah berpendapat, sekiranya barang yang dicuri itu tidak rosak maka boleh diambil kembali tetapi jika telah digunakan maka tiada jaminan dikenakan.

iii. Menurut mazhab Maliki, sekiranya pencuri itu kaya maka barang yang dicuri hendaklah dijamin manakala jika pencuri itu sememangnya susah, maka barang yang telah dicuri tidak perlu dipulangkan.
 

© 2009topik tajuk | by TNB