Sunday, December 6, 2009

4. JENAYAH CURI DAN HUKUMANNYA

Pendahuluan
Kedatangan Islam juga adalah untuk memelihara harta di samping memelihara nyawa dan maruah. Oleh yang demikian, Islam telah mensyariatkan hukuman terhadap mana-mana individu yang bertindak menceroboh harta orang lain. Perbuatan mencuri merupakan jenayah di dalam Islam dan di kenakan hukuman mengikut perundangan Islam bagi pencuri. Apakah yang di katakan dengan kesalahan mencuri dan bentuk hukuman yang dikenakan? Keterangan lanjut adalah seperti berikut:


Apakah itu Mencuri?

Curi atau sariqah dalam bahasa Arab bermaksud mengambil sesuatu secara sulit.
Menurut syarak pula curi ialah mengambil harta orang lain secara senyap dan sembunyi tanpa sebarang hak dari tempat simpanan dengan syarat-syarat tertentu..Ianya dilakukan dengan niat yang sengaja.

Penjelasan Takrif

“ Harta orang lain” adalah bermaksud barang yang dicuri mestilah hak milik orang dan bukannya hak miliknya.

“ Mengambil secara senyap dan sembunyi ” adalah bermaksud pecuri mestilah mengambil barang itu secara senyap atau sembunyi bukan dengan cara terang-terangan seperti merampas, menipu, memaksa, dan sebagainya.

“ Niat sengaja” pula ialah apabila seseorang yang mencuri barang itu mengetahui barang yang diambil itu adalah diharamkan dan barang yang diambil itu bertujuan untuk memilikinya tanpa pengetahuan dan keizinan pemilik barang. Jika seseorang itu mengambil barang yang disangka sudah dibuang oleh pemiliknya maka tidak dikenakan hukuman hudud.

HUKUMAN BAGI JENAYAH CURI

Bagi kesalahan mencuri, maka hukuman yang dikenakan ada dua jenis:

Pertama; Hukuman potong tangan.

Ini berdasarkan dalil al-Quran sebagaimana firman Allah Taala dalam surah al-Maidah ayat 48 adalah seperti berikut:

Di kalangan fuqaha berlaku perselisihan pendapat dalam menentukan anggota yang perlu dipotong. Punca perselisihan wujud disebabkan percangggahn antara mereka dalam mentafsirkan firman Allah “ فاقطعوا أيديهما “ yang terjemahannya berbunyi,” maka potonglah tangan mereka,” dan dalam menilai hadith yang sahih daripada Rasulullah s.a.w dalam masalah ini.



Bahagian Anggota yang wajib dipotong adalah seperti berikut:

1. Potong satu tangan sahaja.

Menurut Imam Ata’ tangan pencuri hanya dipotong untuk kesalahan kali pertama sahaja tetapi jika dia mengulangi kesalahan mencuri kali lain pula maka tangannya tidak dipotong. Ini bermaksud tangan hanya dipotong sekali sahaja iaitu tangan kanan, bagi kesalahan mencuri kali pertama manakala bagi kesalahan mencuri yang dilakukan seterusnya atau kali lain hanya dikenakan hukuman ta’zir.

Kesalahan Curi Pertama: Tangan kanan dipotong
Kesalahan Curi Kedua dan seterusnya: Dikenakan hukuman ta’zir

Alasan atau hujah beliau berdasarkan firman Allah bagi ayat yang terjemahannya berbunyi “ maka potonglah tangan mereka.” Berdasarkan ayat tersebut menurut beliau yang perlu dipotong itu adalah tangan sahaja bukan anggota lain.

2. Potong tangan kanan dan kaki kiri

Menurut Imam Hanifah, Syiah Zaidiah dan pendapat pertama dalam mazhab Ahmad pula berpendapat anggota yang wajib dipotong adalah tangan kanan dan kaki kiri. Bagi kesalahan mencuri kali pertama , maka wajib dipotong tangan kanan, sementara kesalahan mencuri kali kedua, yang wajib dipotong ialah kaki kiri. Jika pencuri mengulangi perbuatannya untuk kali ketiga dan berikutnya, maka hukumannya ialah dia akan ditahan untuk tempoh yang tidak terbatas sehingga dia mati dan bertaubat.



3. Potong kedua-dua belah tangan kanan dan kiri.

Mengikut pandangan dari mazhab Zahiri pula anggota yang wajib dipotong bagi kesalahan mencuri ialah kedua-dua belah tangan iaitu tangan kanan dan kiri. Ini bermakna bagi kesalahan mencuri pertama, maka tangan kanan akan dipotong, sementara kesalahan mencuri kali kedua hukumannya dipotong tangan kiri pula. Adapun bagi kesalahan mencuri berikutnya iaitu setelah dua kali mencuri maka hukuman ta’zir dikenakan.


Mencuri Kali Pertama: Potong tangan kanan
Mencuri Kali Kedua: Potong tanan kiri
Mencuri Kali Ketiga dan seterusnya: Hukuman ta’zir


4. Potong kedua-dua belah tangan dan kaki

Adapun menurut mazhab Maliki, Syafie berpendapat anggota yang perlu dipotong adalah kedua-dua belah tangan dan kaki di mana mencuri kali pertama, hukumannya dipotong tangan kanan, kesalahan mencuri kali kedua dipotong kaki kiri. Jika mencuri kali ketiga maka tangan kiri akan dipotong dan bagi kesalahan mencuri kali keempat hukumannya dipotong kaki kanan. Adapun jika dia mengulangi lagi kesalahan mencuri untuk kali berikutnya, maka dikenakan hukuman penjara sehingga mati ataupun sehingga bertaubat.





Kedua; Memulangkan barang yang dicuri setelah pencurinya dipotong tangan.

Bagi masalah ini terdapat tiga pendapat iaitu:

i. Bagi pendapat Imam Syafie, bayaran gantirugi dikenakan terhadap pencuri walaupun barang tersebut telah rosak.

ii. Imam Abu Hanifah berpendapat, sekiranya barang yang dicuri itu tidak rosak maka boleh diambil kembali tetapi jika telah digunakan maka tiada jaminan dikenakan.

iii. Menurut mazhab Maliki, sekiranya pencuri itu kaya maka barang yang dicuri hendaklah dijamin manakala jika pencuri itu sememangnya susah, maka barang yang telah dicuri tidak perlu dipulangkan.

0 comments:

Post a Comment

 

© 2009topik tajuk | by TNB