Tuesday, December 22, 2009

3. QISAS



PENDAHULUAN


Adapun jenayah yang melibatkan jiwa seperti membunuh ataupun ke atas anggota tubuh badan seperti mencederakan, melukai atau memotong sesuatu anggota di mana ianya dilakukan dengan niat yang sengaja, maka hukuman yang dikenakan terhadap jenayah jenis ini ialah qisas. Hukuman qisas merupakan hukuman asal bagi jenayah tersebut. Namun begitu, sekiranya hukuman qisas tidak dapat dilaksanakan atas sebab tertentu, maka hukuman ganti akan dijalankan iaitu penjenayah akan dikenakan hukuman diat ataupun ta’zir.


TAKRIF QISAS


Dari sudut bahasa: Peraturan kesan atau bersamaan.

Istilah: Mengenakan hukuman yang sama dengan jenayah yang dilakukan terhadap orang lain yang melibatkan fizikal sama ada perbuatan membunuh atau lain-lain daripada perkara-perkara yang mencederakan jasmani.

DALIL AL-QURAN:

178. Wahai orang-orang Yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman "Qisas" (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh.

(Surah al-Baqarah: 178)


Firman Allah Taala lagi:

Maksudnya: Dan telah kami tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka juga hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya. Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.


JENIS-JENIS JENAYAH/KESALAHAN QISAS

Jenayah boleh yang dikenakan hukuman qisas terbahagi kepada dua jenis iaitu:

1) Membunuh dengan sengaja

2) Memukul dan mencedera dengan sengaja


PERTAMA; MEMBUNUH DENGAN SENGAJA

Pengertian Bunuh:

Membunuh menurut syariat Islam bermaksud perbuatan yang dilakukan oleh seseorang manusia yang dapat menghilangkan nyawa manusia di mana pembunuhan yang dilakukan adalah tanpa hak. Hukum membunuh tanpa hak adalah haram dan berdosa besar. Hal ini berdasarkan dalil al-Quran sebagaimana firman Allah Taala:

Maksudnya: Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya melainkan dengan satu alasan yang benar. Dan siapa dibunuh dengan secara zalim, maka sesungguhnya kami telah memberi kekuasaan kepada ahli warisnya.
( Surah al-Isra’ ayat 33)



Unsur Penting dalam Jenayah Bunuh dengan Sengaja



Terdapat tiga unsur penting bagi jenayah bunuh dengan sengaja iaitu:

i. Orang yang terbunuh sebelumnya seorang manusia yang hidup
ii. Pembunuhan itu hasil perbuatan si pembunuh
iii. Perbuatan berkenaan dilakukan dengan niat hendak membunuh


HUKUMAN BAGI JENAYAH BUNUH DENGAN SENGAJA

a. Hukuman Qisas

Oleh yang demikian, seseorang yang membunuh dengan sengaja tanpa hak maka dikenakan hukuman qisas. Hukuman qisas adalah hukuman yang wajib dilaksanakan ke atas pembunuh kecuali jika wali atau keluarga yang kena bunuh memberi kemaafan. Fuqaha berpendapat dalam hal ini bahawa wali atau keluarga yang kena bunuh berhak menuntut qisas atau memberi kemaafan kepada pembunuh, dan kemaafan itu dengan cara menuntut ganti rugi berbentuk diat atau lainnya.


b. Hukuman Gantian

Sekiranya terdapat halangan atau sebab yang menggugurkan qisas daripada pembunuh, maka sebagai hukuman gantinya adalah pembunuh dikenakan diat dan ta’zir. Yang dikatakan diat kerana membunuh ialah diat yang wajib dibayar dalam bentuk unta adalah sebanyak seratus (100) ekor, dalam bentuk emas adalah seribu (1000) dinar dan dalam bentuk perak adalah dua belas ribu (12000) dirham.


KEDUA; MEMUKUL DAN MENCEDERA DENGAN SENGAJA


Fuqaha Islam mendefinisikan jenayah memukul dan mencedera sebagai perbuatan jahat oleh seseorang ke atas orang lain yang tidak membawa kepada kematian. Termasuk di bawah definisi ini segala bentuk pencerobohan dan kejahatan, seperti melukakan, menarik, menekan, memotong dan mencabut.

Bagi jenayah jenis ini ianya dilakukan dengan sengaja seperti sengaja membaling batu dengan niat hendak mencederakan seseorang dan dikenakan hukuman qisas yang merupakan hukuman asal.


Unsur Penting dalam Jenayah Memukul dan Mencedera dengan Sengaja


Terdapat dua unsur penting dalam kes ini iaitu:

i. Berlakunya perbuatan yang boleh mencedera atau menjejaskan keselamatan tubuh badan termasuklah apa sahaja bentuk perbuatan jahat yang boleh mengakibatkan keadaan seperti itu seperti memukul, mencekik, menarik, menolak, menekan, atau memulas. Ianya boleh berlaku dengan cara menggunakan tangan, kaki, gigi, tongkat, pisau, pedang, senapang, atau dengan menggunakan bahan bisa atau beracun.

ii.Perbuatan itu dilakukan dengan sengaja. Maksudnya ianya dilakukan dengan kemahuan sendiri dan dengan niat jahat.


HUKUMAN BAGI JENAYAH MEMUKUL DAN MENCEDERA DENGAN SENGAJA


Hukuman yang dikenakan bagi jenayah memukul dan mencederakan dengan sengaja menurut pendapat jumhur fuqaha ialah qisas yang merupakan hukuman asal bagi jenayah jenis ini. Namun begitu, jika terdapat apa-apa yang menghalang perlaksanaan hukuman qisas maka ia diganti dengan dua jenis hukuman lain iaitu diat atau ta’zir. Oleh yang demikian, hukuman qisas dan diat tidak boleh dilaksanakan sekaligus kerana ia bertentangan dengan tabiat dan sifat gantian itu sendiri. Begitu juga, tidak harus dikenakan hukuman gantian kecuali apabila terdapat halangan terhadap perlaksanaan hukuman asal.


SYARAT PELAKSANAAN QISAS


Menurut Imam Syafie syarat pelaksanaan qisas bagi jenayah pembunuhan adalah seperti berikut:

1) Orang yang hendak dijatuhkan hukuman qisas adalah mukallaf dan berakal. Kanak kanak dan orang gila tidak dikenakan qisas

2) Pembunuh bukan terdiri daripada bapa, ibu, datuk dan ke atas

3) Mangsa bunuh adalah terpelihara darahnya dengan sebab Islam

4) Persamaan taraf antara pembunuh dan mangsa bunuh dari sudut agama kedua duanya Islam) dan kebebasan diri kedua duanya merdeka)


Syarat Qisas mencederakan ialah:

1) Kesamaan dari sudut anggota yang hendak dikenakan qisas seperti tangan kanan dengan tangan kanan,kiri dengan yang kiri

2) Anggota yang sihat tidak akan dipotong kerana qisas bagi bagi anggota yang lumpuh walaupun dengan kerelaan penjenayah. Tetapi harus memotong anggota yang lumpuh kerana memotong anggota yang sihat.

3) Hendaklah anggota yang hendak diqisas boleh dipotong pada sendi seperti siku,pergelangan tangan atau anggota yang ada sempadan khusus seperti telinga.Qisas hendaklah dilaksanakan pada sendi yang paling hampir dengan anggotayang dilakukan. Mangsa diberi hukuman gantian bayar ganti rugi) bagi bahagian selebihya yang dapat diqisas

4) Jika calar, luka terpotong tetapi tidak terputus, tidak diharuskan qisas kerana tiada persamaan sebagai syarat asas qisas.



5 comments:

Unknown said...

Apakah jenis hukuman yg dikenakan qisas

IUJOWO said...

1)membunuh
2)mencederakan dan memotong anggota

Dira Yunus said...

Apakah konsep qisas?

Dira Yunus said...

Apakah konsep qisas ?

Unknown said...

boleh Tak bagi takrif mencuri Dan merompak

Post a Comment

 

© 2009topik tajuk | by TNB