Tuesday, December 22, 2009

4. TA'ZIR





PENDAHULUAN

Hukuman ta’zir dijalankan mengikut budi bicara pemerintah sama ada dalam bentuk sebatan, tahanan (penjara) dan lain-lain yang boleh mencegah dan menakutkan seseorang daripada melakukan kesalahan. Pemerintah tidak dibenarkan memutuskan hukuman ta’zir berdasarkan hawa nafsu,tetapi perlu melihat kepada semua hal dan keadaan yang berkaitan dengan diri pesalah, kadar bahaya terhadap kepentingan awam dan sebagainya.

Tujuan utama perlaksanaan hukuman ta’zir dalam syariat Islam ialah pencegahan dan pengajaran disamping pemulihan dan pendidikan. Namun begitu terdapat juga pelbagai tujuan lain akan tetapi tujuan yang bertentangan dengan tujuan sebenar ta’zir diharamkan oleh syariat Islam.Misalnya Islam melarang ta’zir yang bertujuan menyeksa dan membawa kerosakan kepada jiwa dan tubuh badan penjenayah.


TAKRIF TA'ZIR

Ta’zir pada bahasa: halangan, pencegahan, atau pertolongan.

Istilah: Hukuman terhadap perbuatan maksiat atau jenayah yang tidak ditentukan kadarnya oleh syarak sama ada ia merupakan hak Allah atau hak manusia.

Sebagaimana firman Allah Taala bermaksud: “ Dan menguatkan (agama)-Nya dan membesarkan-Nya.”


JENAYAH TAZIR DAN HUKUMANNYA

Jenayah ta’zir ialah perbuatan maksiat yang selain daripada hudud, qisas dan kifarah seperti riba, berbuka puasa pada siang hari, rasuah, berkhalwat, saksi palsu, berjudi dan sebagainya. Segala perbuatan maksiat yang disebutkan itu akan dikenakan hukuman ta’zir di mana pemerintah atau hakim perlu memilih hukuman yang sesuai bagi setiap kes ta’zir.




Contoh Jenayah Ta'zir iaitu Rasuah


HUKUMAN TA'ZIR


Adapun bagi jenayah yang dikenakan hukuman ta’zir, maka pihak hakim mempunyai pelbagai jenis hukuman yang boleh dipilih sesuai dengan kesalahan tertentu, mengikut keadaan pesalah, rekod kesalahannya serta rekod psikologinya. Antara jenis-jenis hukuman ta’zir termasuklah hukuman mengenai tubuh badan seperti sebatan, hukuman berkaitan sekatan kebebasan seperti penjara, buang daerah dan lain-lain, hukuman berkaitan harta seperti denda serta pelbagai hukuman lain berdasarkan budi bicara pemerintah. Keterangan lanjut mengenai jenis-jenis hukuman ta’zir adalah seperti berikut:


i. SEBAT

Hukuman sebat selain dikenakan terhadap jenayah hudud seperti zina yang dilakukan oleh seseorang yang belum berkahwin dan jenayah qazaf (tuduh zina), ianya juga boleh digunakan terhadap jenayah ta’zir. Terdapat pelbagai pendapat dalam menentukan bilangan sebatan maksimum yang diizinkan dalam kes ta’zir. Sesetengahnya mengatakan 75 sebatan, ada yang berpendapat 99 sebatan, dan yang lainnya menetapkan 39 sebatan dan ada pula yang mengatakan tidak dibenarkan lebih daripada 20 sebatan.




Contoh Sebatan Cara Islam


ii. PENJARA

Terdapat dua jenis hukuman penjara dalam undang-undang Islam, sama ada tempoh yang tetap atau tidak tetap. Adapun hukuman penjara bagi tempoh yang tetap boleh dikenakan bagi kesalahan-kesalahan kecil. Bagi hukuman penjara tidak terhad pula,ianya dikenakan ke atas penjenayah yang sering melakukan kesalahan yang mana mengikut pandangan pihak hakim, tidak boleh dipulihkan akhlak mereka dengan mengenakan hkuman biasa. Semua mazhab undang-undang Islam mengesahkan hukuman ini boleh dilanjutkan sama ada sehingga penjenayah itu bertaubat atau sehingga dia mati bagi penjenayah yang merbahaya.




Contoh Penjara


iii. DENDA DAN MERAMPAS HARTA BENDA

Nabi Muhammad pernah juga mengenakan hukuman dalam bentuk kewangan sebagai hukuman ta’zir. Namun begitu, di kalangan fuqaha’ terbahagi kepada tiga kumpulan berhubung dengan pendapat tentag kesahihan hukuman ini di sisi undang-undang. Kumpulan pertama mengatakan menghukum dengan cara mendenda atau merampas harta benda tidak sah di sisi undang-undang, kumpulan kedua pula menganggapnya sah, manakala kumpulan ketiga menganggapnya sah jika pesalah tidak bertaubat.



Contoh Harta


iv. ANCAMAN


Ancaman merupakan satu bentuk hukuman ta’zir yang dapat mendorong pesalah mengubah tingkah lakunya keraa takut dihukum. Pesalah boleh diancam dengan hukuman sekiranya dia mengulangi kesalahan itu lagi ataupun dia boleh dijatuhkan hukuman tetapi perlaksanaan hukuman itu ditangguhkan sehinggalah dia melakukan satu lagi kesalahan (dalam tempoh tertentu).


SYARAT SYARAT PELAKSANAAN TA’ZIR

1. Hukuman ta’zir hendaklah bertujuan menjaga kemaslahatan yang ditetapkan oleh islam.
2. Hukuman dapat menolak keburukan atau mengurangkannya tanpa mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat dan tidak menghina kemuliaan manusia
3. Hukumannya sesuai dengan jenayah yang dilakukan
4. Persamaan dan adil antara manusia
5. Dijalankan oleh pemerintah



0 comments:

Post a Comment

 

© 2009topik tajuk | by TNB