Tuesday, December 22, 2009

5. KAEDAH PENSABITAN DALAM HUKUMAN JENAYAH ISLAM




Terdapat beberapa kaedah pensabitan menentukan sesuatu hukuman itu boleh dilaksanakan agar tidak timbul ketidak adilan dalam hukuman. Secara umumnya, terdapat beberapa kaedah pensabitan jenayah dalam Islam:


1. Pengakuan (Ikrar)

Pengakuan adalah pemberitahuan tentang hak orang lain ke atas dirinya. Ia merupakan kenyataan atau pengakuan seseorang tentang sesuatu yang berlaku. Telah dipersetujui bahawa pengakuan penjenayah sudah cukup untuk menunjukkan kesalahan, dan berdasarkan pengakuan tersebut dia boleh dijatuhkan hukuman. Satu pengakuan sudah memadai untuk kes jenayah kecuali bagi jenayah zina terdapat perbezaan pendapat dalam menentukan bilangannya. Mazhab Hanafi dan Hanbali berpendapat pengakuan semestinya dibuat sebanyak empat kali dalam empat majlis pengakuan yang berasingan manakala di kalangan fuqaha Syafie dan sebahagian besar fuqaha Maliki berpendapat. Memadai dengan satu pengakuan sahaja, selagi ada tanda yang menunjukkan orang yang mengaku itu tetap dengan pengakuannya.


2. Keterangan Saksi (Syahadah)

Keterangan saksi atau syahadah dalam bahasa Arab pada asalnya membawa maksud hadir. Dari segi bahasa ia bermaksud perkhabaran yang pasti. Manakala dari segi syarak pula ialah memberitahu sesuatu perkara dengan lafaz yang khusus. Keterangan saksi adalah sah menurut syarak berpandukan al-Quran dan sunnah serta ijma’ ulama’.Seseorang saksi yang mahu memberi keterangan mestilah memenuhi syarat-syarat iaitu Islam, baligh, berakal, merdeka, adil, tidak mempunyai asas untuk ditohmah, boleh bercakap (tidak bisu), dan saksi mestilah seorang yang sedar lagi prihatin.

Kesalahan zina disabitkan dengan adanya penyaksian oleh empat orang lelaki yang adil. Bagi kes lain seperti curi, merompak, dan minum arak maka bilangan saksi adalah dua orang lalaki. Dalam murtad fuqaha’ berselisih pendapat dalam menentukan bilangan saksi sama ada dua atau empat orang lelaki. Pada pandangan kebanyakan fuqaha termasuk Imam Malik, Auza’I, Syafie dan ulama mazhab Hanafi, kesalahan murtad boleh disabitkan dengan dua orang saksi yang adil.


3. Sumpah (al-yamin)

Dalam bahasa Arab, sumpah disebut ‘ yamin’ yang bermaksud tangan kanan. Perkataan ‘yamin’ atau tangan kanan ini digunakan bagi merujuk kepada sumpah kerana apabila mereka bersumpah mereka akan berpegangan tangan kanan. Sumpah bermaksud salah satu pihak yang bertikai mengukuhkan pemberitahuan dengan menyebut nama Allah atau sifat sifatNya. Adab-adab yang patut diamalkan ketika bersumpah termasuklah hakim memberi amaran tentang sumpah, bersumpah hanya ketika berada di pihak yang benar, dan tidak bersumpah bohong.


4. Qarinah


Iaitu fakta yang mempunyai kaitan dengan fakta yang lain dalam sesuatu kes. Ia juga sebagai tanda yang menunjukkan wujudnya sesuatu atau sebaliknya.


0 comments:

Post a Comment

 

© 2009topik tajuk | by TNB