Tuesday, December 22, 2009

1. JENAYAH ZINA DAN HUKUMANNYA

Pertama; Jenayah Zina

Pendahuluan

Datangnya Islam juga adalah untuk menjaga keturunan. Oleh yang demikian Islam melarang perbuatan zina yang boleh merosakkan keturunan dan mencemarkan maruah orang yang melakukannya bahkan Islam juga melarang perkara yang mendekati perbuatan zina. Dalam kaedah Usul Fiqh yang di sebut sebagai “Saddu Zaraik” yang bermaksud menyekat segala jalan yang boleh membawa kepada keburukan atau kerosakan. Ini bermakna segala jalan yang membawa kepada perbuatan zina termasuklah pergaulan bebas antara lelaki dan wanita, mendedahkan aurat, dan sebagainya adalah diharamkan. Sememangnya menjadi fitrah manusia saling mencintai antara satu sama lain misalnya percintaan antara lelaki dan wanita. Namun begitu, pengharaman zina bukan bermakna Islam menghapuskan atau menyekat fitrah ini tetapi Islam menyuruh umatnya menggunakan cara yang halal sebagaimana diperintahkan Allah iaitu melalui perkahwinan.






Pengertian Zina

Berzina ialah melakukan persetubuhan haram antara lelaki dan perempuan dengan sengaja tanpa akad perkahwinan yang sah . Perbuatan ini dilakukan oleh seseorang yang mencukupi syarat sebagai mukallaf.

Berdasarkan nas al-Quran dengan jelas mengharamkan zina melalui firman Allah di dalam surah al-Isra’ ayat 32:

Maksudya: ”Dan janganlah kamu mendekati zina , sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk.”

Di dalam jenayah zina terdapat dua unsur penting yang dapat dirumuskan di sini iaitu:

Pertama: Unsur Fizikal iaitu persetubuhan haram

Perbuatan persetubuhan itu sendiri merupakan unsur terpenting dalam jenayah zina yang boleh dikenakan hukuman terhadap pesalah. Menurut fuqaha, persetubuhan yang boleh dkenakan hadd ialah perbuatan memasukkan hasyafah (kepala zakar) lelaki ke dalam faraj perempuan.


Kedua: Unsur Maknawi iaitu niat jahat (sengaja melakukan persetubuhan haram)

Niat jahat yang dimaksudkan di sini ialah melakukan persetubuhan secara sedar bahawa ia adalah perbuatan zina yang diharamkan. Bagi seseorang yang melakukan persetubuhan dengan seseorang yang disangkakan isterinya atau suaminya, maka tidak dikenakan hadd zina.


HUKUMAN BAGI JENAYAH ZINA

Bagi kes kesalahan zina ini hukuman yang dikenakan terhadap pesalah diketegorikan kepada dua iaitu:

Kategori Pertama; Penzina yang Bukan Muhsan ( belum berkahwin)

Hukuman zina bagi pasangan yang belum berkahwin sama ada lelaki atau perempuan akan dihukum dengan dua hukuman:

1. Sebat Seratus (100) Kali.

Hukuman ini berdasarkan dalil al-Quran dan hadith Nabi S.A.W:

Allah S.W.T berfirman:

Maksudnya: Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina maka rotanlah kedua-duanya seratus kali rotan.
(Surah al-Nur, 24:2)

Sabda Nabi Muhammad S.A.W:

Maksudnya: Ambillah daripada aku. Sesungguhnya Allah telah menentukan bagi mereka jalan: Dara dengan teruna rotan seratus kali dan buang daerah selama setahun, dan yang sudah berkahwin seratus rotan dan rejam.

( Hadith diriwayatkan oleh Muslim)


2. Buang daerah selama setahun

Bagi hukuman buang daerah selama setahun ini ianya dilaksanakan di samping hukuman sebat. Namun begitu terdapat pelbagai pendapat di kalangan fuqaha dalam mewajibkan hukuman jenis ini.

Menurut Imam Abu Hanifah bahawa buang daerah tidak wajib dan boleh dilaksanakan jika dirasakan perlu di samping hukuman sebat. Beliau berpendapat buang daerah bukanlah termasuk dalam hukuman hudud tetapi hukuman ta’zir.

Manakala Imam Malik, Syafie dan Ahmad pula berpendapat wajib dihimpunkan hukuman sebat dan hukuman buang daerah sebagai hukuman ke atas penzina yang belum berkahwin. Menurut mereka juga, hukuman buang daerah juga adalah hukuman hudud, sama seperti sebat.


Kategori Kedua; Penzina yang Muhsan ( sudah berkahwin)

Adapun bagi penzina yang muhsan iaitu yang sudah berkahwin, maka hukuman yang dikenakan adalah seperti berikut:

1. Rejam
Sebahagian besar para fuqaha menerima hukuman rejam iaitu dibaling dengan batu sampai mati sebagai hukuman ke atas penzina yang muhsan. Dalil bagi hukuman tersebut ialah berdasarkan sabda Nabi Muhammad s.a.w dan perlaksanaan hukuman rejam yang pernah dilakukan oleh baginda. Antara salah satu contoh kes hudud yang melibatkan penzina muhsan di zaman awal Islam ialah kes ’Asif di mana kes ini merupakan rujukan utama bagi para fuqaha’ dalam menghuraikan hukum rejam ke atas penzina yang muhsan dan bahawa kesalahan zina itu boleh sabit dengan pengakuan. Mengenai kes tersebut, Abu Hurairah dan Zaid Ibn Khalid meriwayatkan katanya:

” Ketika kami berada di sisi Nabi s.a.w, bangun seorang lelaki dan berkata: Dengan nama Allah saya memohon kepada tuan yang Rasulullah s.a.w agar memberi keputusan kepada kami berdasarkan kitab Allah. Selepas iu bangun pula lawannya yang lebih tahu tentang hukum dan berkata: Buatlah keputusan di antara kami berdasarkan kitab Allah dan beritahulah saya mengenainya.” Sabda Rasulullah s.a.w: ”Ceritakanlah.” Kata lelaki berkenaan: ” Sesungguhnya anak lelaki saya bekerja sebagai pengambil upah (Asif) kepada lelaki ini, dan telah berzina dengan isterinya. Maka, saya ingin menebus dosanya dengan memberi seratus ekor kambing dan seorang khadam. Saya telah bertanya ramai dari kalangan ulama tentang hal ini. Mereka telah memberitahu saya bahawa hukuman atas anak saya ialah rotan seratus kali dan buang daerah selama satu tahun. Manakala hukuman ke atas isteri berkenaan pula ialah rejam sampai mati. ” Maka sabda Nabi s.a.w ” Demi Tuhan, aku akan memberi keputusan antara kamu mengikut apa yang ditetapkan oleh kitab Allah. Seratus ekor kambing dan seorang khadam yamg kamu tawarkan itu hendaklah dipulangkan balik. Sesungguhnya atas anak kamu seratus kali sebat dan buang daerah selama setahun.” Sabda Nabi s.a.w lagi: ” Pergilah kamu wahai ’Unais dan tanyalah perempuan berkenaan. Jika dia mengaku maka rejamlah dia.” Selepas ditanya oleh ’Unais perempuan itu mengaku, lalu dia direjam.”


2. Hukuman Sebat

Namun begitu, khawarij berpendapat hukuman bagi penzina sama ada muhsan(sudah berkahwin)atau bukan muhsan (belum berkahwin) adalah 100 kali sebatan bersandarkan firmanAllah:

Maksudnya: Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina maka rotanlah kedua-duanya seratus kali rotan.
(Surah al-Nur, 24:2)


Menurut pendapat ini lagi, hukuman rejam adalah yang paling berat dalam Islam. Oleh itu hendaklah disabitkan dengan dalil yang qatie iaitu dengan al-Quran atau Sunnah yang mutawatir. Dapatlah dirumuskan melalui pendapat ini, di mana bagi penzina yang muhsan iaitu sudah berkahwin tidak di hukum rejam sebaliknya di sebat seratus kali sama seperti hukuman yang dikenakan ke atas penzina yang bukan muhsan iaitu belum berkahwin.


3. Rejam dan Sebat

Hukuman sebat atau rotan yang merupakan hukuman kedua ke atas penzina yang muhsan bersandarkan kepada nas hadith yang berbunyi:

Maksudnya: ” Ambillah daripada aku. Sesungguhnya Allah telah menentukan bagi mereka jalan: Dara dengan teruna rotan seratus kali dan buang daerah selama setahun, dan yang sudah berkahwin dengan yang sudah berkahwin seratus rotan dan rejam.

Para fuqaha berselisih pendapat tentang hukuman rotan atau sebat sebagai hukuman kedua ke atas penzina yang muhsan. Mujtahid seperti Imam Ishak, Ahmad dan Daud berpendapat, hukuman sebat boleh dilaksanakan beserta hukuman rejam. Ini berdasarkan hadith di atas dan sebagaimana hukuman yang pernah dilaksanakan oleh Sayidina Ali (r.a) yang mana belau merotan Syarrahah al-Hamdaniyyah sebelum merejam perempuan itu, dan berkata, ” Aku merotan dia berdasarkan al-Quran, dan aku merejam dia berdasarkan sunah Rasulullah..”

Namun begitu, di kalangan mujtahid lain, seperti Imam Malik , Abu Hanifah dan Syafie, pula berpendapat yang wajib hanyalah hukuman rejam sahaja.



0 comments:

Post a Comment

 

© 2009topik tajuk | by TNB