Sunday, December 6, 2009

6. JENAYAH MURTAD DAN HUKUMANNYA

Pendahuluan

Isu murtad merupakan isu penting agama Islam yang mana tidak boleh dibiarkan berterusan begitu sahaja. Kes-kes murtad yang berlaku segelintir di kalangan umat Islam khususnya orang Melayu dan saudara baru semakin menjadi-jadi. Buktinya apa yang kita lihat fenomena ini berlaku di Malaysia yang melibatkan kes-kes murtad yang diketahui umum seperti kes Lina Joy atau Azlina Jailani, kes ayah Pin, kes Natrah dan sebagainya. Perbincangan mengenai murtad akan dibahaskan lebih lanjut dalam penulisan ini.

Takrif atau Pengertian Murtad

Perkataan murtad berasal daripada bahasa Arab iaitu riddah atau irtidad. Dari segi bahasa riddah bermaksud kembali daripada sesuatu kepada sesuatu yang lain. Manakala bagi perkataan irtidad pula membawa pengertian lebih luas,iaitu mereka yang meninggalkan agama Islam untuk tidak mempercayai Islam atau meninggalkan Islam untuk mempercayai agama lain.

Terdapat pelbagai takrifan yang dikemukakan ulama mengenai murtad dari segi istilah syarak seperti di bawah antaranya:

i. Menurut Dr. Wahbah al-Zuhayli: “ Berpaling daripada Islam dan kembali kepada kufur, sama ada dengan niat atau perbuatan yang mengkafirkan atau perkataan, dan sama ada diucapkan dengan gurauan atau penentangan atau iktikad.

ii. Menurut Syeikh ‘ Abd al-Qadir Awdah: “ Meninggalkan agama Islam dan keluar daripadanya setelah menganutnya.”

iii. Menurut Sayyid Sabiq: “ Kembalinya orang Islam yang berakal dan dewasa kepada kekafiran dengan kehendaknya sendiri tanpa paksaan dari orang lain. Baik yang kembali itu orang lelaki mahupun orang perempuan.


Jadi dapatlah disimpulkan takrifan murtad di sini iaitu orang Muslim mukallaf yang keluar daripada agama Islam sama ada dengan kepercayaan, perkataan atau perbuatan, dengan kehendak sendiri.


SEBAB MURTAD

Murtad boleh berlaku dengan pelbagai cara sehinggakan kadang kala berlaku tanpa disedari oleh pelakunya. Perkara-perkara yang boleh menyebabkan murtad adalah disebabkan kepercayaan (murtad i'tiqadi), dengan perkataan (murtad qawli) dan perbuatan (murtad fi’li). Penjelasan lanjut mengenai perkara-perkara yang boleh menyebabkan murtad ini adalah seperti berikut:

1. Murtad Melalui I’tiqad

Murtad jenis ini berlaku apabila seseorang itu beriman atau berpegang dengan suatu pegangan yang salah dari sudut akidah Islam dan juga dasar-dasar kepercayaan seorang mukmin kepada Islam.

Contoh-contoh i’tiqad yang membawa kepada murtad:

i. Menafikan kewujudan Allah atau mempercayai alam ini bersifat azali dan wujud tanpa pencipta.

ii. Mempercayai kepada orang yang mendakwa dirinya nabi selepas nabi Muhammad s.a.w, kerana apabila Musailamah al-Kazzab mendakwa dirinya sebagai nabi dan kaumnya mempercayainya maka kaumnya dijatuhkan hukuman murtad.

iii. Sesiapa yang beri’tiqad ada tuhan selain Allah, ataupun Allah mempunyai pembantu di dalam kekuasaanNya, atau Dia yakni Allah Taala mempunyai sahabat atau anak (iaitu mensyirikkan Allah dengan sesuatu).


2. Murtad Melalui Perkataan

Apa yang dimaksudkan dengan murtad melalui perkataan ialah apabila seseorang melafazkan kalimah atau perkataan dan ucapan serta tulisan yang dianggap memperlekeh, menghina, memerli dan membenci ajaran Islam.

Contoh-contoh ucapan yang membawa kepada murtad mengikut pendapat ulama seperti berikut:

i. Menghina Allah atau menghina nabi-nabiNya atau menghina Nabi Muhammad s.a.w.

ii. Berkata seseorang: “ Allah sudah tidak ada kerja lainkah, sehingga mencipta perkara ini?.”

iii. Sesiapa yang berkata: “ Saya tidak berminat dengan hukum Allah atau dengan syariat nabi Muhammad s.a.w.”


3. Murtad Melalui Perbuatan

Murtad boleh juga berlaku melalui perbuatan apabila perbuatan-perbuatan itu bertentangan dengan dasar-dasar Islam yang telah ditentukan Allah.

Contoh-contoh perbuatan yang membawa kepada murtad antaranya:

i. Perbuatan sengaja yang menunjukkan kepada kekufuran seperti sujud kepada berhala, matahari, bulan ataupun kepada makhluk sama ada binatang atau lain seperti sujud kepada salib atau api.

ii. Perbuatan sengaja yang menunjukkan kepada penghinaan, memperolok, mengejek atau mempersendakan kitab al-Quran atau kitab-kitab hadith seperti memijak atau melemparkannya ke tempat kotor.


Faktor yang Menyumbang Kepada Gejala Murtad:


Beberapa faktor penyebab (menurut pihak-pihak yang terlibat mengendalikan masalah ini) ialah:

1. Kurang didikan agama daripada ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Mereka tidak mampu menjadi role model untuk anak-anak. Sebagai contoh mereka sendiri tidak solat, tidak berpuasa dan tidak mengamalkan kewajipan Islam yang lain.

2. Tiada undang-undang yang berkesan untuk mencegah jenayah ini daripada terus berlaku. Enamen Pentadbiran undang-undang Islam Negeri-negeri juga tidak memberi bidang kuasa kepada mahkamah untuk menghukum orang yang murtad secara bermaruah dan berwibawa kerana tiada peruntukan.

3. Murtad untuk berkahwin dengan pemuda atau gadis yang dicintai menyebabkan mereka hilang pedoman dan pegangan hidup.

4. Dalam kalangan saudara baru yang menganut Islam kurang bimbingan setelah memeluk Islam. Akhirnya apa yang berlaku mereka murtad kerana tidak memahami Islam secara menyeluruh dan tidak puas hati dengan ajaran Islam. Tambahan pula banyak perkara-perkara yang berupa kewajipan dalam Islam agak susah untuk dilakukan.

5. Gerakan agama yang dijalankan oleh agama Kristian, Hindu, Buddha dan sebagainya. Pergerakan mereka boleh dikesan melalui aktiviti kebajikan, kesihatan, kidmat social dan sebagainya.


Saranan mereka dalam mengatasi masalah ini:


1. Cara yang mutlak dan terbaik ialah mengambil semula undang-undang Islam sebagaimana yang dijalankan pada zaman Rasulullah iaitu undang-undang hudud. Sekiranya hukuman hudud dijalanan segala masalah akan selesai kerana undang-undang Allah itu terbaik untuk kemaslahatan umat manusia walaupun ada pihak-pihak yang tidak memahami hukum-hukum Islam mengatakanya kejam.

2. Menubuhkan pusat pemulihan aqidah dan pusat tahanan terhadap mereka yang mahu murtad. Pusat tahanan dan pemulihan ini akan membimbing dan mendidik mereka sehingga mereka benar-benar insaf dan kembali bertaubat. Sekiranya mereka masih berdegil , maka mereka hendaklah ditahan semula.

3. Ibu bapa perlulah mendalami ilmu agama dan ilmu keibubapaan sebagai bakalan untuk mendidik anak-anak mereka.

4. Mengahwinkan segera anak-anak yang sudah mempunyai keinginan untuk berkahwin. Dengan cara ini boleh menghindarkan mereka daripada melakukan perkara-perkara maksiat.

5. Pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam perlu menggunakan seluruh peluang yang ada untuk menginsafkan dan membimbing orang yang mahu murtad supaya kembali bertaubat serta membatalkan hasratnya untuk keluar Islam.



Hukuman Terhadap Jenayah Murtad

Adapun hukuman dalam Islam yang dikenakan bagi jenayah murtad dapat dilihat dari segi hukuman di akhirat dan hukuman di dunia:

1. Hukuman di Akhirat

Adapun bagi hukuman murtad di hari akhirat ialah balasan azab bahkan mereka kekal di dalam neraka. Hal ini berdasarkan firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 217 yang mana terjemahannya berbunyi:

Maksudnya:
Barang siapa yang murtad di antara kamu daripada agamanya (agama Islam), lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.
( Surah al-Baqarah:217)


2. Hukuman di Dunia

Mengikut jumhur ulama’, jenayah murtad boleh dikategorikan dalam kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman hudud. Bagaimanapun hukuman itu masih tertakhluk kepada tiga hukuman utama iaitu hukuman asal, hukuman alternatif dan hukuman sampingan. Kepelbagaian hukuman-hukuman itu wujud adalah tertakhluk kepada keputusan hakim dengan melihat sebab-sebab dan latar belakang kes murtad itu.

i. Hukuman Asal

Hukuman asal bagi orang murtad ialah di bunuh. Hal ini bersandarkan kepada dalil hadith nabi yang bermaksud, “ Sesiapa yang menukar agamanya (murtad) maka bunuhlah dia.” Jumhur ulama’ berpendapat hukuman bunuh ini berjalan kepada semua penjenayah murtad tidak kira sama ada lelaki, perempuan, tua ataupun muda. Namun begitu Imam Abu Hanifah mengecualikan hukuman bunuh terhadap wanita sebaliknya pesalah wanita itu harus di gesa supaya bertaubat dan kembali semula kepada Islam. Jika enggan maka dia ditahan sehingga dia kembali kepada Islam atau sehingga dia mati dalam tahanan.

Mengikut kaedah utama di dalam jenayah murtad ini ialah orang yang murtad itu disuruh bertaubat. Menurut Imam Syafie seseorang yang murtad diminta bertaubat terlebih dahulu dan kembali semula kepada Islam dalam tempoh tiga hari. Jika tetap enggan barulah dijatuhkan hukuman bunuh. Ada juga yang mengatakan bahawa menuyuruh bertaubat ini tidak wajib, sebaliknya penyuruhan ini baik dilakukan.



ii. Hukuman Alternatif

Apabila sesorang yang murtad telah bertaubat dan kembali kepada Islam, maka hukuman asal (bunuh) digugurkan sebaliknya dikenakan pula hukuman alternatif. Hakim boleh mengenakan hukuman ta’zir yang sesuai sebagai pengajaran kepadanya agar tidak mengulangi kesalahan murtad itu lagi. Contohnya dikenakan hukuman sebat, penjara, membayar denda dan sebagainya.

Selain itu, jika terdapat kesamaran maka hukuman asal digugurkan sebagaimana Imam Hanifah pernah menjalankan hukuman penjara terhadap perempuan dan kanak-kanak yang telah murtad dalam tempoh tidak terbatas sehinggalah mereka bertaubat dan kembali semula kepada Islam. Beliau telah menggugurkan hukuman asal iaitu bunuh dan menggunakan hukuman alternatif.


iii. Hukuman Sampingan

Apa yang dimaksudkan dengan hukuman sampingan ialah selain daripada hukuman bunuh terdapat beberapa hukuman lain yang berkaitan dengan pemilikan harta benda, pengurusan, perwarisan, dan perkahwinan akan dikenakan ke atas penjenayah murtad. Contohnya harta-harta yang dimiliki oleh orang yang murtad tidak boleh diwarisi oleh keluarga yang beragama Islam. Begitu juga seseorang yang murtad tidak boleh mengahwini orang lain yang beragama Islam.

0 comments:

Post a Comment

 

© 2009topik tajuk | by TNB