Tuesday, December 22, 2009

8. HIKMAH HUKUMAN DALAM ISLAM




Islam telah menetapkan hukuman bagi setiap kesalahan jenayah yang dilakukan sama ada tergolong dalam jenayah hudud, qisas mahupun ta’zir.Antara hikmah daripada hukuman tersebut adalah sepert berikut:


1.Pencegahan

Bagi tujuan pencegahan, amaran keras dengan janji-janji azab telah dinyatakan oleh syariat agar manusia takut untuk melakukan jenayah tersebut. Bila melihat hukuman yang dijalankan, bukan sahaja akan mencegah penjenayah tersebut dari mengulangi kesalahan, bahkan mencegah orang ramai daripada melakukan jenayah.

Selain itu, hukuman yang disyariatkan Islam bukanlah berbentuk hukuman dan pembalasan terhadap jenayah yang dilakukan semata-mata, tetapi ia juga berbentuk pencegahan sesebuah masyarakat daripada kerosakan dan kemusnahan akibat daripada jenayah itu. Sebagai contoh hukuman qisas yang dijatuhkan terhadap pesalah bukanlah bermaksud membalas dendam, menuntut bela, atau semata-mata menjatuhkan hukuman bagi kesalahan yang dilakukan. Akan tetapi, ia bagi mencegah perbuatan itu daripada terus berlarutan. Persengketaan atau permusuhan berkemungkinan terus berlaku dan berlarutan antara waris penjenayah dengan waris mangsa sekiranya hukuman qisas tidak dijalankan. Bukti yang dapat kita lihat di sini ialah peperangan al-Basus yang berlaku di kalangan masyarakat jahiliah di mana peperangan ini berlaku antara kabilah Taghlib dengan kabilah Bakar selama 40 tahun. Punca peperangan ini bila mana seorang kabilah Taghlib bernama Kulaib telah membunuh seekor unta milik seorang perempuan daripada kabilah Bakar.

Memang menjadi matlamat asal perundangan Islam ialah mencegah dan menggerunkan manusia daripada melakukan jenayah. Ini adalah untuk menghalang kerosakan dan menolak kemudaratan.



2.Pembalasan

Hikmah daripada hukuman juga adalah sebagai balasan kepada penjenayah tersebut di samping memberi pembelaan dan keadilan terhadap mangsa jenayah. Sebab itu dalam kesalahan hudud dan qisas ditetapkan hukuman tertentu sebagai balasan terhadap kesalahan. Dalam kes mencuri contohnya, dikenakan hukuman potong tangan sebagai balasannya. Islam menyediakan sumber penghukuman daripada al-Quran dan hadith demi memastikan hukuman berjalan dengan baik dan tanpa sebarang penganiayaan.


3.Pemulihan

Seseorang yang dikenakan hukuman atau dimaafkan atas kesalahan akan melahirkan kesedaran dalam dirinya. Hukuman itu sendiri bertujuan untuk mendidik diri di samping kifarah dan seterusnya dia akan bertaubat kepada Allah.


Firman Allah Subhanahu Wataala:

39. Maka sesiapa Yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan (curi) itu dan memperbaiki amal usahanya, Sesungguhnya Allah menerima taubatnya; kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.


Tujuan hukuman adalah untuk memulihkan pesalah. Sebab itu sebahagian daripada kesalahan ada kemaafan seperti qisas dan ta’zir.




4.Pemeliharaan

Pemeliharaan yang dimaksudkan di sini ialah pemeliharaan nilai murni dalam masyarakat oleh setiap individu demi menjamin keharmonian dan kestabilan hidup. Penghukuman dalam undang-undang Islam disyariatkan untuk memelihara nilai-nilai murni seperti berikut:

a.Memelihara Agama
Hukuman berat dikenakan kepada orang murtad bertujuan memelihara kesucian agama.


b.Memelihara jiwa
Hukuman qisas disyariatkan iaitu hukum bunuh terhadap pembunuh yang membunuh dengan sengaja bertujuan memelihara jiwa manusia daripada diceroboh dan diganggu gugat.


c.Memelihara akal
Hukuman dikenakan terhadap peminum arak bertujuan menjaga akal fikiran manusia.


d.Memelihara keturunan
Hukuman sebat atau rejam dikenakan terhadap penzina bertujuan memelihara keturunan manusia.


e.Memelihara harta
Hukuman potong tangan dikenakan terhadap pencuri sekiranya sabit kesalahan demi menjaga harta masyarakat daripada diceroboh dan dirampas.




3 comments:

Sibar Azmi said...

warna tulisan tertutup oleh warna latar sehingga tidak dapat dibaca.

Unknown said...

trima kasih..banyak mmbantu

highthinkers said...

????

Post a Comment

 

© 2009topik tajuk | by TNB